PUTRAJAYA, 19 DIS : “Saya nampak macam ada benda tergolek, ingatkan barang terjatuh daripada lori sebelum saya bunyikan hon berulang kali bagi memberhentikan lori berkenaan,” kata Mohd Shukri@Budiman Hassan.

Mohd Shukri ialah saksi utama kemalangan membabitkan penunggang basikal dengan lori di Jambatan Putrajaya berdekatan Kelab Tasik Putrajaya, kira-kira jam 9.40 pagi tadi.

Menceritakan kejadian itu, Mohd Shukri berkata, dia ketika itu baru pulang dari berjoging dan memandu kenderaannya menghala ke rumahnya di Presint 11.

Katanya, kenderaannya berada di belakang lori berkenaan yang dibawa perlahan.

“Tiba-tiba lori berkenaan terbabas dan naik di atas penghadang jalan dan saya nampak ada benda tergolek. Saya bunyikan hon berulang kali supaya lori berkenaan berhenti (daripada bergerak).

“Apabila saya turun, rupanya objek yang saya ingat terjatuh itu adalah basikal,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mohd Shukri berkata, beliau memeriksa kawasan di sekitar dan menemukan mangsa, lalu memeriksa nadinya yang didapati amat lemah sebelum menghubungi talian kecemasan.

“Ambulans tiba kira-kira 10 minit kemudian dan selepas menjalankan pemeriksaan, pegawai perubatan mengesahkan wanita berkenaan sudah meninggal dunia,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Putrajaya, Superintendan S Vijaya Rao mengesahkan kemalangan itu dan kes berkenaan disiasat di bawah kesalahan trafik mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Buat masa ini siasatan masih dijalankan dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Putrajaya,” katanya.