TELUK INTAN, 27 DIS – Seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi tercampak ke dalam Sungai Perak selepas terlibat kemalangan dengan sebuah kereta di Jambatan Batu 5 di sini pada Sabtu.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, lelaki berusia 36 tahun berjaya diselamatkan oleh kumpulan pemancing udang yang kebetulan berada di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Kamaruddin Mat Salleh berkata, siasatan mendapati kemalangan itu berpunca daripada sebuah kereta jenis Proton Saga yang dipandu lelaki berusia 52 tahun yang memasuki laluan bertentangan sebelum dirempuh motosikal mangsa.

“Siasatan awal mendapati kereta itu dari arah Sarang Tiong hendak menuju Ke Teluk Intan telah brek mengejut untuk mengelak kenderaan di hadapan yang dipandu perlahan dan memasuki laluan bertentangan.

“Tiba-tiba mangsa yang menunggang motosikal jenis Benelli dari arah depan telah melanggar bahagian tepi kereta terbabit hingga melambung atas jalan sebelum terjatuh ke dalam sungai,” katanya.

Katanya, mangsa yang cedera dihantar mendapatkan rawatan di Hospital Teluk Intan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu, saksi, Zunaidee Mohd Yusuf, 52, berkata, dia bersama tiga rakan terkejut apabila melihat mangsa melayang terjatuh ke dalam sungai selepas terdengar bunyi dentuman kuat dari arah jambatan.

“Saya bersama tiga rakan lain ketika itu sedang memancing udang galah dengan menyewa bot tidak jauh dari jambatan.

“Melihat kejadian itu, kami menghala bot ke arah mangsa selepas ternampak mangsa timbul dengan lengkap berjaket, topi keledar, kasut dan bersarung tangan,” katanya.

Katanya, kami semua berasa lega apabila mangsa masih lagi sedar dan segera menariknya ke dalam bot kerana arus yang deras sebelum diserahkan kepada pegawai perubatan. – SINAR HARIAN