KUALA LUMPUR: Seorang pekerja swasta maut selepas motosikal ditunggang terbabas dan kepalanya digilis kenderaan lain di Kilometer 16.8 arah utara Lebuhraya Lembah Klang Baru (NKVE), petang tadi.

Dalam kemalangan jam 3.35 petang itu, pemuda berusia 23 tahun berasal dari Rawang itu, menunggang motosikal bersendirian sebelum nahas.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shari’at, berkata siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berpunca daripada kecuaian mangsa yang terbabas sendiri.

“Mangsa terjatuh di jalan sebelum sebuah kenderaan lain yang dipercayai gagal mengelak melanggar kepala mangsa, menyebabkannya meninggal dunia di tempat kejadian.

“Kita belum dapat memastikan jenis kenderaan yang melanggar mangsa dan saksi kejadian diminta tampil membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, saksi kejadian boleh tampil ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Daerah (BSPTD) Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya atau berhubung dengan pegawai penyiasat, Inspektor Rina Murniza Ibrahim di talian 013-9738580.

Azman berkata, mayat mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987 – berita harian