GOPENG – Seorang penunggang motosikal maut manakala rakannya cedera parah dalam di KM307 Lebuhraya Utara Selatan Arah Utara, awal pagi tadi.
Dalam kejadian tersebut, mangsa yang menaiki motosikal Yamaha dikatakan terlibat dengan kemalangan dengan sebuah Mitsubishi Triton.
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Gopeng, Shahpri Shahrudin berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 3.15 pagi.
“Setibanya jentera dan anggota di tempat kejadian, didapati api sedang marak membakar kereta Triton hampir 70 peratus manakala kedua-dua penunggang motosikal tersebut telah tercampak di antara kawasan pembahagi jalan.
“Seorang penunggang berusia 33 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lagi penunggang lelaki berumur 35 tahun mengalami kecederaan parah.
“Pasukan Bomba bertindak memadamkan api menggunakan dua aliran hos bersumberkan air daripada tangki jentera sehingga api berjaya dipadamkan sepenuhnya,” kata beliau ketika dihubungi.
Mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Tuanku Permaisuri Bainun.