KAJANG: Seorang lelaki ditemui mati selepas terjun dari tingkat atas bangunan sebuah kolej swasta di Sungai Long di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi itu, mangsa berusia 23 tahun, yang juga penuntut kolej swasta berkenaan, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff, berkata mayat penuntut terbabit ditemui orang awam yang menghubungi pihak polis pada jam 5.07 pagi tadi.

“Siasatan awal di lokasi kejadian menemui telefon bimbit dan dompet milik mangsa yang mengandungi dokumen pengenalan diri di atas kerusi bersebelahan tingkap cermin sebuah bilik di tingkat 10 bangunan itu.

“Mangsa dipercayai keluar daripada tingkap cermin itu berdasarkan ruang ia dibuka sebelum dia disyaki terjun,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ahmad Dzaffir berkata, tiada kamera litar tertutup (CCTV) dalam bangunan berkenaan dan pemeriksaan lanjut di lokasi kejadian mendapati tiada unsur jenayah dalam kejadian itu.

“Mayat mangsa yang berasal dari Teluk Intan, Perak itu dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya – berita harian