MELAKA – Seorang penuntut universiti awam dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM1,200 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana mencuri barangan termasuk mi segera di sebuah pasar raya di sini pada bulan lalu.

Majistret Mohd. Firdaus Saleh menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Nur Edayu Shamsudin, 23, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut.

Tertuduh didakwa dengan niat curang mengambil enam paket Milo, dua unit Nestum, empat unit mi segera Samyang, enam unit Nescafe, empat karton susu F&N, dua unit minyak masak Seri Murni dan dua unit minyak masak cap Buruh berjumlah RM640.72 tanpa membuat pembayaran di Pasar Raya Aeon Bandaraya Melaka pada pukul 10.50 pagi, 29 Oktober lalu.

Bagi kesalahan itu, Nur Edayu didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda atau kedua-duanya sekali.

Mahkamah mengarahkan hukuman penjara berjalan mulai dari tarikh jatuh hukuman.

Tertuduh yang baru tamat pengajian dalam bidang pelancongan dan penghotelan membayar denda tersebut. – K! ONLINE