IPOH: Penduduk di Daerah Larut Matang dan Selama di Perak dinasihatkan agar tidak panik dengan penutupan sementara enam buah sekolah di daerah itu mulai Isnin.

Exco Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Perak, Ahmad Saidi Mohamad Daud berkata, mereka masih boleh menjalankan aktiviti harian seperti biasa dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan atau duduk di rumah jika tiada urusan.

Menurutnya, penutupan itu adalah langkah berjaga-jaga kerajaan untuk mengelakkan penularan wabak COVID-19.

“Kita masih lagi menunggu laporan lengkap daripada pihak KKM, PDRM dan juga MKN untuk kita sampaikan sebab kemungkinan besar penutupan sekolah dibuat untuk proses sanitasi, mungkin bukan jangkitan pada murid ataupun cikgu tapi mungkin ada kontak rapat.

“Jadi saya nasihatkan kepada seluruh mereka yang berada terutama di kawasan Larut Matang dan Selama seperti mana yang saya maklumkan tadi, jangan panik, laksanakan aktiviti seperti biasa,” katanya.

Beliau ditemui ketika melawat pesara guru yang tular tinggal di rumah yang dipenuhi timbunan sampah di sini, hari ini.

Semalam, Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, NGO dan Masyarakat Sivil Perak, Razman Zakaria berkata, enam buah sekolah di daerah Larut Matang Selama ditutup selama tujuh mulai Isnin susulan terdapat kes positif COVID-19 membabitkan warga sekolah itu.

Sekolah-sekolah itu ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) King Edward VII, SMK (P) Treacher Methodist, SMK Bukit Jana, Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Jana, SK Convent Kota dan SK Ulu Mengkuang.

Ahmad Saidi menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan berita yang belum disahkan kesahihannya kerana ia boleh menimbulkan suasana panik di dalam masyarakat.