SEREMBAN – Sebuah kedai emas di Jalan Yamtuan, di sini, rugi hampir RM25,000 dalam kejadian samun, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 3.30 petang itu, suspek lelaki berusia lingkungan 30-an itu datang seorang diri dengan alasan mahu membeli rantai emas.

Menurut pengurus kedai emas yang enggan dikenali berkata, lelaki warga tempatan yang memakai topi itu memberitahu pekerjanya mahu membeli rantai emas untuk perkahwinannya.

“Lelaki itu meminta pekerja saya menunjukkan rantai emas yang sesuai untuk majlis perkahwinannya.

“Ketika sedang memilih rantai yang sesuai, lelaki tersebut secara tiba-tiba terus melarikan diri dengan membawa dua rantai emas,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, suspek turut mengeluarkan pistol dan memberi amaran kepada pekerja dan orang awam agar tidak menjerit sekiranya tidak mahu dicederakan.

“Kemudian, lelaki itu terus melarikan diri dengan berjalan kaki di lorong kedai berhampiran sebelum menghilangkan diri.

“Suspek berjaya membawa lari dua utas rantai emas yang bernilai kira-kira RM20,000,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Thiew Hock Poh mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

-SinarHarian