TELUK INTAN: Seorang penyelia ladang didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tiga pertuduhan, termasuk mengedar dadah jenis Methamphetamine seberat 20.3 kilogram bernilai sekitar RM1.8 juta dalam tempoh seminggu yang lepas.

Mahir Affandi Mohamad, 35, didakwa mengedar dadah itu pada pukul 2 pagi di sebuah rumah kakitangan Felda Gunung Besout 2, Sungkai pada 11 April lepas.

Majistret, Intan Nurul Farena Zainal Abidin menetapkan tertuduh akan didakwa mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang sekiranya sabit kesalahan boleh membawa hukuman mati mandatori.

Mahir Affandi turut menghadapi dua pertuduhan iaitu memiliki dadah jenis syabu seberat 8.7 gram dan methamphetamin seberat 2.45 gram, di tempat, masa dan tarikh yang sama.

Bagi kesalahan pertama tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh ekoran Majistret Intan Nurul Farena Zainal Abidin memerintahkan menunggu laporan kimia.

Bagaimanapun, Mahir Affandi mengaku tidak bersalah bagi pertuduhan kedua dan ketiga di mana dia boleh didakwa di bawah Seksyen 12(2) dan 39A(1) akta sama dan meminta untuk dibicarakan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa ASP Nazaruddin Ibrahim manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah turut menetapkan 22 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes..

Majistret Intan Nurul, juga tidak membenarkan sebarang ikat jamin buat tertuduh.