PARIS: Penyerang pasukan Real Madrid, Karim Benzema disyaki terbabit dalam satu cubaan menculik bertujuan cuba mendapatkan kembali wang milik bintang bola sepak itu, lapor sebuah laman web Perancis, Mediapart semalam.

Menurut Mediapart, satu perselisihan membabitkan wang berjumlah 50,000 euro (RM238,589) dipercayai menjadi punca cubaan itu gagal.

Peguam bekas pemain antarabangsa Perancis itu bagaimanapun menyifatkan tuduhan dakwaan itu sebagai pelik.

Leo D, yang mendakwa dirinya ejen kepada pemain Real Madrid itu, memfailkan tuntutan mahkamah pada Isnin, 8 Oktober, mendakwa menjadi mangsa satu cubaan penculikan.

Lelaki berusia 33 tahun itu menuduh kawan rapat Benzema cuba menculiknya di Paris pada Ahad, 7 Oktober, selepas perlawanan Liga 1 Perancis antara PSG dan Lyon, dengan harapan memujuknya untuk memindahkan wang tunai itu.

Rakan baik Benzema, Smaine T, dan pemandu pemain Real Madrid itu didakwa mengarahkan Leo D masuk ke dalam sebuah van hitam.

Dia turut mendakwa melihat kelibat Karim Benzema di belakang kenderaan itu.

Mediapart berkata pertikaian itu membabitkan tajaan RM238,589 untuk satu percutian musim panas ke Maghribi yang dipersetujui untuk dibayar kepada Benzema.

Benzema percaya Leo D. menggelapkan wang itu.

Peguam Benzema, Sylvain Cormier, menegaskan Khamis lalu bahawa Leo D. tidak pernah menjadi ejen Karim Benzema.

Cormier mengecam tuduhan itu usaha untuk mencalar nama baik Benzema mencari publisiti murahan.

Sementara itu, peguam Leo D, Joseph Cohen-Sabban, berkata, jika Karim Benzema mengambil tindakan mahkamah, dia akan berdepan masalah. – AFP