PRK CAMERON | Sekumpulan penyokong BN menghentikan beberapa orang yang membawa bendera Pakatan Harapan (PH) daripada mendekati pusat mengundi di SJK (C) Brinchang.

Kumpulan yang membawa bendera PH diketuai pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang, memberitahu pemberita bahawa beliau hanya berjalan-jalan di kawasan itu.

Apabila Lim bersama rombongannya melepasi penyokong-penyokong BN yang berkumpul di jalan raya yang menuju ke sekolah, sekumpulan penyokong BN mula berteriak dan menjerit ke arah mereka.

Ketika mereka memasuki kawasan larangan berkempen berhampiran pusat mengundi, penyokong BN mula mendekati mereka sambil menjerit supaya tidak berkempen dan cuba merampas bendera dibawa.

Lim yang berpakaian baju merah jambu serta seluar berwarna coklat dengan tenang berjalan ke kereta, manakala yang hadir bersamanya berhenti dan berpatah balik menuju ke arah penyokong BN yang berkumpul di jalan.

Anggota Majlis Tertinggi Umno, Armand Azha Abu Hanifah yang berada di situ berkata kepada penyokong PH dengan mempersoalkan sama ada mereka mengetahui undang-undang.

“Kalau kamu tidak tahu hormat undang-undang, jangan jadi kerajaan,” katanya.

Seorang warga tua berusia 78, bernama Tow Ah Mei yang memakai baju kemeja berwarna merah jambu yang tertera logo ‘DAP Impian Sarawak’ kemudian bertengkar dengan penyokong BN.

“Siapa yang betul atau salah, Allah akan tahu,” katanya sambil mengangkat tangan ke arah langit.

Seorang lelaki yang berbaju jaket merah kemudian mendekati Tow dan mengusiknya, “Dia (Allah) kasi sokong sama you mah”.

Lelaki tersebut turut mengejek Tow dengan menjerit “auntie, auntie.”

Beberapa penyokong BN yang berbaju biru kemudian mengejek Tow dan berteriak kepadanya.

“Kamu pergi, jangan datang ke sini,” kata seorang lelaki kepada Tow lagi.

“Kurang ajar,” Tow membalas semula ejekan itu, dengan beberapa penyokong BN merakam insiden tersebut menggunakan telefon bimbit – malaysiakini