KUALA LUMPUR : Najib Razak hari ini menyambut ulang tahun kelahiran ke-66 di perkarangan mahkamah bersama sekumpulan kecil penyokong yang hadir untuk mengikuti kes bekas perdana menteri itu yang berdepan tujuh pertuduhan membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Ketibaan Najib di mahkamah di Kuala Lumpur disambut dengan kehadiran kira-kira 30 penyokong yang telah menunggu di lobi sejak awal pagi ini.

Mereka membawa kek coklat dan mula menyanyikan lagu “Allah selamatkan kamu” sebaik sahaja Najib keluar dari kereta Proton Perdana hitamnya dengan nombot plat TN50.

Antara yang hadir bagi meraikan sambutan ulang tahun Najib yang sinonim dengan jolokan “bossku” ialah Timbalan Presiden MIC M Saravanan.

Sebelum itu, melalui satu rakaman video ringkas yang tular pagi tadi, Najib juga meraikan sambutan hari lahir di kediamannya bersama penyokongnya.

Najib sempat memotong kek hari lahir dan dibacakan doa selamat sebelum keluar dari kediaman dipercayai menuju ke mahkamah.

Sebelum itu di laman sosial Facebook, Najib memaklumkan yang beliau menerima suntingan video sempena hari lahirnya.

Beliau juga turut merakamkan ucapan terima kasih kepada orang ramai yang mengucapkan selamat hari lahir kepadanya hari ini.

“Bulan Julai tahun lepas, saya dihadiahkan sebuah lagu bernama “TQ Sir”.

“Bulan Julai ini pula, ada seorang sahabat telah menyunting sebuah video dengan lagu ini.

“Tadi dia hantar video ini melalui WhatsApp sebagai hadiah hari jadi kepada saya. (Ya, birthday saya 23 Julai).

“Terima kasih…Terima kasih juga kepada semua yang turut mengucap dalam ruang komen FB saya,” tulis beliau di Facebook.