IPOH – Ratusan penyokong Perak kecewa apabila dimaklumkan bahawa penjualan tiket perlawanan akhir Unifi Piala Malaysia antara Perak dan Terengganu di Stadium Shah Alam, Sabtu ini habis dijual, setakat 10.10 pagi di kaunter pentas utama Stadium Perak.

Seorang penyokong, Ahmad Faizul Yusof 36 berkata, perkara berkenaan tidak sewajarnya berlaku kerana mustahil tiket boleh habis dijual dalam tempoh yang singkat.

Justeru dia menggesa Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) untuk memberikan penjelasan berhubung perkara ini.

“Kaunter buka 9.15, tutup 10.10. Mustahil tiket boleh habis? Memang saya kecewa dan marah, dah la saya cuti setengah hari.

“Sepatutnya ada wakil daripada Pafa maklumkan perkara yang berlaku. Kami bukan marah, kalau nak simpan tiket untuk jualan esok kami faham, tapi kena maklumkanlah,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, seorang lagi penyokong Nurazlina Zainal Mokhtar, 24 mengakui kecewa kerana gagal mendapatkan tiket hari ini.

“Kecewa la sebab 6.30 pagi dah sampai, tapi tak ada orang, saya balik dulu datang semula 8.30 pagi.

“Tapi orang dah ramai beratur, tapi tak lama rasanya dalam 18 orang kaunter tutup dengan alasan tiket habis. Tak boleh la buat macam ni, kena bagitahu,” katanya – sinar