KEJAM apabila seorang penjenayah bukan hanya bertindak memecah masuk rumah dan meragut wanita warga emas, malah dia turut mencederakan mangsa sehingga parah di Seksyen 18, Shah Alam, malam tadi.

Lebih menyedihkan, perbuatan terkutuk itu dilakukan lelaki berkenaan ketika umat Islam sibuk menunaikan solat tarawih, pada 9 malam.

Selain rantai leher diragut, mangsa, Saadiah Yahaya, 64, dipukul pula dengan batang besi hingga menyebabkan tengkorak kepalanya retak, patah tangan kiri dan cedera di muka.

Difahamkan, suspek yang bersendirian menyusup masuk menerusi bumbung rumah di bahagian dapur dan turut meloloskan diri menggunakan laluan sama.

Anak angkat mangsa, Muhammad Najmie Othman, 28, ketika kejadian wanita itu tinggal bersendirian kerana dia dan bapa angkatnya, Chumen Salim, 69, pergi menunaikan solat tarawih di masjid berdekatan.

“Namun, saya terkejut apabila dimaklumkan mengenai kejadian itu dan bergegas pulang bagi mendapatkan kepastian.

“Apabila sampai di rumah, saya dapati orang ramai sudah mengerumuni ibu saya yang cedera berlumuran darah sebelum dikejarkan ke hospital untuk menerima rawatan lanjut,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, hari ini.

Menurut pekerja syarikat kurier itu, mangsa kebiasaannya memang turut bersama menunaikan solat tarawih, namun dia mahu berehat di rumah ketika kejadian.

“Penjenayah itu dipercayai membuka atap rumah dan memecahkan siling untuk memecah masuk rumah kami sebelum mencederakan ibu dengan teruk.

“Saya difahamkan ibu terpaksa merangkak keluar sehingga ke pintu pagar luar untuk meminta pertolongan. Ia kemudian disedari kanak-kanak yang bermain di luar lalu memaklumkan kepada jiran untuk meminta bantuan,” katanya.

Muhammad Najmie berkata, keadaan ibunya dilaporkan stabil dan sedang dirawat di Hospital Shah Alam Selangor (HSAS).

Beliau berkata, kejadian itu kali pertama menimpa keluarganya dan dia bersyukur kerana ibunya selamat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharuddin Mat Taib yang mengesahkan kejadian berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun mendatangkan kecederaan – hmetro