KUCHING: Seorang peragut menerima padah selepas terjatuh dari bumbung sebuah rumah sejurus meragut beg tangan di Jalan Wan Alwi, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 11.48 malam itu, suspek berusia lingkungan 30-an itu parah pada kepala dan kini dirawat di Zon Merah Hospital Umum Sarawak (HUS).

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, Datuk Dev Kumar, berkata suspek yang dipercayai warga tempatan itu terjatuh dari bumbung sebuah rumah ketika cuba melarikan diri daripada orang awam yang mengejarnya.

Katanya, suspek sebelum itu meragut beg tangan seorang wanita berusia 26 tahun di hadapan rumah sewa mangsa.

“Mangsa baru pulang ke rumah sewanya dan ketika mahu membuka pintu jeriji rumahnya, muka mangsa ditekup suspek dari arah belakang.

“Suspek kemudian menumbuk mangsa beberapa kali sebelum melarikan beg tangan mangsa,” katanya.

Katanya, wanita itu kemudian menjerit meminta tolong menyebabkan beberapa jirannya, termasuk orang awam mengejar suspek sejurus menyedari kejadian.

“Suspek yang ketakutan melarikan diri dengan memanjat bumbung rumah di sebuah rumah berhampiran.

“Bagaimanapun, suspek terjatuh lalu tidak sedarkan diri. Suspek kemudian dikejarkan HUS untuk rawatan,” katanya – berita harian