Kerajaan negeri Perak akan mengaktifkan semula pusat kuarantin di Institut Latihan Statistik Malaysia, Sungkai yang mempunyai kapasiti 90 buah bilik di samping dua buah hotel di sekitar Ipoh dengan kapasiti 128 bilik bagi kemasukan melalui pintu masuk antarabangsa.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal berkata, lima lagi pusat kuarantin dalam status bersiap sedia atau ‘standby’ sekiranya diperlukan atas nasihat daripada Jabatan Kesihatan Negeri Perak.

“Pusat kuarantin yang dalam proses pengaktifan semula ialah di Pusat Latihan Statistik Malaysia di Sungkai dengan kapasiti sebanyak 90 bilik dan kita juga telah menyediakan lima buah pusat kuarantin yang dalam status standby iaitu Institut Tadbiran Islam Perak (INTIM).


“Institut Latihan Pegawai Awam Perak (ILPA), Institut Tadbiran Tanah dan Ukur Negara (INSTUN), Institut Latihan Perindustrian (ILP) di Meru dan juga Teknologi Pendidikan Negeri Perak (TPNP) di Tasek,” katanya.


Beliau bercakap kepada pemberita dalam sidang media khas berkenaan Covid-19 di pejabatnya di Bangunan Perak Darul Ridzuan pada Rabu.


Beliau turut menasihatkan orang ramai sentiasa berdisiplin dan mematuhi semua SOP sedia ada.


“Sebelum ini kita sudah kurang menjaga suhu badan, kurang guna cecair pembasmi kuman dan sebagainya, mari kita kembali kepada apa yang kita pernah lakukan sekitar bulan Februari dan Mac dahulu yang mana kita cukup berjaga-jaga dengan wabak ini,” katanya.

Katanya lagi, pusat kuarantin di Pusat Latihan Statistik Malaysia Sungkai itu dijangka akan dibuka pada 10 Oktober ini tertakluk kepada nasihat dari Jabatan Kesihatan Negeri Perak.

Ahmad Faizal percaya langkah-langkah kawalan seperti mengaktifkan semula pusat kuarantin itu akan membantu mengurangkan risiko penularan Covid-19 dengan memastikan individu berisiko dikuarantin di pusat tersebut.

Semalam media melaporkan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan kluster baru di Perak dan Sabah iaitu Kluster Batu dan Kluster Ramai-Ramai.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Kluster Batu dikenal pasti di Taiping, Perak yang mana hasil saringan dalam kalangan kakitangan dan ahli keluarga sebuah kem tahanan.

Hasil saringan mendapati sebanyak tujuh kes dikesan positif Covid-19 dan mereka semua dimasukkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh.