Kemunculan ‘Bandar Kasut Ipoh’ tidak lama lagi bakal mengetengahkan Perak sebagai pengeluar kasut terbesar di negara ini kata Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Beliau berkata, projek bernilai lebih RM100 juta itu kini sedang dalam proses pembinaan di atas tanah seluas 26.7 ekar di kawasan Perindustrian Ringan Pengkalan, Ipoh dan dijangkakan siap selewat-lewatnya pada 2026.

“Ianya bakal mentranformasikan industri pembuatan kasut yang ketika ini telah berusia lebih 100 tahun dan dijalankan secara kecilan-kecilan di rumah oleh sekitar 200 pengusaha kita.

“Selepas siap dibina nanti ia bakal menjadi pusat mengumpul kesemua pengusaha terbabit supaya mereka boleh menjalankan perniagaan dalam skala Industri kecil Sederhana (IKS),” katanya pada sidang media selepas majlis pecah tanah projek berkenaan di sini pada Ahad.

Katanya, ketika ini  industri pembuatan kasut negeri mencatatkan perolehan tahunan sekitar RM60 juta setahun dan ia bakal berganda sebaik pembangunan bandar itu siap sepenuhnya.

“Istimewanya industri pembuatan kasut Perak adalah pengusaha kita menerima tempahan dari jenama-jenama besar antarabangsa selain daripada tempatan jadi projek ini akan  meningkatkan produktiviti mereka sekaligus menyumbang kepada ekonomi negeri.

bandar-kasut-ipoh 2
“Saya juga harapkan kawasan ini akan jadi kawasan tarikan pelancong yang ingin mencari kasut berjenama atau buatan tangan yang berkualiti,” ujar beliau.

Projek berkenaan merupakan kerjasama di antara kerajaan negeri dan Persatuan Industri Kasut Perak (PIKP).

Sementara itu, Pengerusi PIKP,  Lee Min Choy berkata, projek berkenaan merupakan ilham Dr Zambry sendiri ketika melakukan lawatan ke kilang perindustrian kasut di sekitar Menglembu dan Bukit Merah pada tahun 2010.

“Ketika itu industri kasut hanyalah di rumah masing-masing sahaja dan beliau (Dr Zambry) cadangkan projek ini supaya industri di rumah ditransformasikan kepada industri ringan di kawasan perindustrian.

“Bermula daripada itu kita melakukan pelbagai perbincangan sehingga projek ini dapat direalisasikan hari ini,” jelas beliau.

Projek terbabit melibatkan pembinaan 128 buah kilang, 18 buah kedai, satu hotel dan satu dewan konvensyen.

Selain itu ia turut dilengkapi dengan dewan pameran kasut, muzium kasut, restoran, kedai borong kasut dan sebuah pusar akademi kasut yang merupakan satu-satunya akademi kasut di Malaysia.