IPOH: Kerajaan negeri Perak akan bekerjasama dengan MyVista untuk merekacipta tangan prototaip elektronik cetakan 3D bagi membantu lebih ramai kanak-kanak yang memerlukan.

Kerjasama itu akan dilaksanakan melalui Digital Perak Corporation Holdings (Digital Perak) untuk membawa kesejahteraan sosial kepada lebih rakyat Perak melalui manfaat teknologi ICT.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Perak, Khairul Shahril Mohamed berkata, pihaknya juga berharap lebih banyak syarikat tampil untuk melaksanakan tanggungjawab sosial korporat mereka.

“Saya yakin banyak lagi ruang untuk kita jayakan lagi program ini dengan kerjasama semua pihak, terutamanya kerajaan dan juga saya yakin pihak swasta juga akan membantu.

“Jika kita membuatkan hebahan dan promosi program ini dengan sebaik mungkin, saya yakin akan lebih banyak lagi pihak bersedia menawarkan untuk menjayakan program ini,” katanya.

Beliau ditemui selepas majlis penyerahan tangan prototaip elektronik cetakan 3D kepada Izza Adeera Faaizul Hisham, 7 tahun, di Hub Inovasi & Multimedia Digital Perak di sini, hari ini.

Hadir sama pereka tangan prototaip elektrik cetakan 3D yang juga pengasas MyVista, Sujana Mohd Rejab dan Ketua Pegawai Eksekutif Digital Perak, Meor Rezal Fitri Datuk Dr Meor Redwan.

Penerima anugerah Ikon Negarku 2017 dan Star Holden Hearts 2019, Sujana yang lebih dikenali dengan Pak Su berkata, setakat ini, pihaknya telah merekacipta kira-kira 60 tangan prototaip, fokus untuk kanak-kanak yang memerlukan.

“Kanak-kanak ini anggap mereka akan hidup lama lagi, jadi kalau dari kecil kita tidak beri mereka satu senyuman, bila dah besar mereka tidak akan senyum dah.

“Objektif kita ialah untuk memberi dia lebih keyakinan, sebab kalau mereka tidak yakin dengan diri sendiri, macam mana mereka hendak meneruskan kehidupan.

“Itu yang kita fokuskan, bukannya apabila dapat tangan ini, kita fikir fikir boleh pegang itu, boleh pegang ini,” ujarnya.

Sementara itu, bapa kepada Izza Adeera, Faaizul Hisham Di pula berkata, anaknya pernah menerima tangan prototaip sebelum ini tetapi jenis mekanikal.

“Sebenarnya rekaan dia sama, cuma tangan mekanikal ni perlukan kekuatan siku dia, sebab tidak ada sensor.

“Disebabkan tangan yang memerlukan itu kecil, jadi untuk guna mekanikal tu, dia sukar sikitlah, dia tak dapat hold untuk satu masa yang lama,” katanya.