TAPAH: Kerajaan negeri Perak terus mengorak langkah membantu mempromosikan produk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) sepanjang Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS).

Sebagai permulaan 14 usahawan PKS di Perak diberi peluang mempromosi dan menjual produk mereka di kawasan R&R Tapah arah utara sempena cuti Tahun Baru Cina, hujung minggu ini.

Program #jom sokong usahawan Perak itu dianjurkan bersama SME Corp, Perbadanan Kemajuan Negeri Perak dan PLUS.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna, Pembangunan Usahawan, Koperasi, NGO dan Masyarakat Sivil negeri, Datuk Samsudin Abu Hassan berharap pihak PLUS dapat memperluaskan lagi program seumpama itu di lebih banyak kawasan R&R mereka.

IMG-20170126-WA0005

“Apabila ada ruang yang dibuka oleh PLUS, sudah pasti kumpulan usahawan di kawasan tertentu mendapat manfaat kerana musim-musim perayaan ini adalah musim yang mana pengguna dan pelanggannya cukup ramai sekali,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan program itu di sini pada Khamis.

Hadir sama Pengarah SME Corp Negeri Perak, Mohamad Roslan Mohamad Razali dan wakil-wakil agensi yang terlibat.

Samsudin berharap usahawan terlibat dapat mengambil peluang daripada kesempatan yang diberikan untuk mempromosi dan menjual produk mereka kepada pengguna lebuh raya, yang mungkin dari seluruh negara.

Menurut beliau, program ini juga selaras dengan Pelan Tindakan Strategik Pembangunan, Pemerkasaan dan Pemantapan Sektor Usahawan, Koperasi dan Peniaga Kecil Negeri Perak 2016 – 2020 yang diperkenalkan tahun lalu.

Dalam hubungan ini, Samsudin memberitahu, Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) Perak menjadi sekretariat untuk memantau pelaksanaan pelan tindakan itu di samping kerjasama daripada agensi terbabit termasuk Pusat Pembangunan Usahawan PKNP, FAMA dan SME Corp.

Antara produk yang terdapat di gerai-gerai yang disediakan ialah putu perak, kuih peneram, rempah ratus, kacang putih dan produk minuman serta kesihatan, buatan usahawan tempatan.