Fenomena ‘Qi-Kai’ (pengemis) di negeri ini memberi implikasi buruk dan cerminan negatif khususnya dalam menuju Transformasi Nasional 2050 (TN50).

Golongan pengemis serta gelandangan ini turut terdedah dengan perlakuan jenayah oleh kerana ia terbahagi kepada aktiviti terancang dan tidak terancang.

Menurut Perwakilan Belia Perak, Wong Tzi Yeen, pelaksanaan Zon Sifar Pengemis wajar dilaksanakan dengan mengenalpasti ‘hotspot’ tumpuan awam atau pelancong khususnya di bandar.

“Pengemis dalam konteks bahasa Cina ‘Qi-Kai’ mencacatkan pemandangan sesebuah negara atau negeri. Dicadangkan untuk menggariskan atau mengklasifikasikan zon itu dalam dua kilometer radius.

“Selain itu operasi berbentuk intergrasi melalui pihak berwajib dan agensi kerajaan seperti PDRM,Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Jabatan Kesihatan Negeri (JKN), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Imigresen dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK),”katanya.

Wong berkata demikian ketika membentangkan usul bertajuk Mengupayakan The Street Citizen Melalui Perak Sejahtera Tanpa Qi-Kai di Persidangan Dewan Belia Perak pada Sabtu.

Ujarnya, sesuai dengan pengumuman kempen Perak Yang Bersih oleh YAB Menteri Besar maka ia boleh dijadikan satu batu loncatan bagi menggerakan kempen Bandar Bebas Pengemis.

Dalam pada itu jawatankuasa itu turut mengusulkan program Street To Home Program (S2H) yang bertujuan menempatkan golongan itu secara sementara di rumah perlindungan khusus.

“Mereka yang benar-benar memerlukan akan menerima pemulihan di sininkerana rumah atau shelter merupakan keperluan asas dan selaras dengan ‘shelter for all’.

“Rumah ini nanti berupaya memberikan kehidupan dan semangat baru kepada mereka, selepas mencapai suatu tahap kemampuan yang digariskan mereka harus meninggalkan penempatan tersebut dan kembali kepada masyarakat sivil,” katanya