IPOH: Operasi pasar pagi,pasar terbuka, pasar malam dan bazaria akan dibuka secara berperingkat di Perak mulai 15 Jun ini, di samping kerajaan negeri akan memperhalusi beberapa Prosedur Operasi Standard (SOP) tambahan yang perlu.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, kerajaan negeri amat menitikberatkan dan menerimapakai SOP yang telah ditetapkan oleh kerajaan Persekutuan bagi pembukaan semula pasar tersebut.

“SOP yang ada sekarang ini kita akan ikut tetapi kita akan perhalusi apa lagi yang perlu dan saya mendapati maklum balas yang kita terima di Perak ialah semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) telah bersetuju untuk membuka sebilangan yang mereka mampu dulu (pasar).

“Contohnya di Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), setelah berbincang dengan Persatuan Penjaja-Penjaja Kecil Melayu Pasar Malam Bergerak Melayu Kinta (Payung), mereka bersedia untuk membuka sebanyak 15 pasar malam di sekitar bandar raya Ipoh.

“Begitu juga dengan Majlis Bandaran dan Majlis Daerah yang lain, bukan semua pasar malam dibuka serentak, ramai juga peniaga bimbang dengan masalah Covid-19 dan bukan semua setuju hendak berniaga secara terbuka sekarang, jadi kita buat secara berperingkat,” katanya.

Ahmad Faizal berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media khas berhubung SOP Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Perak pada Rabu.

Katanya pembukaan yang dihadkan bagi pasar pagi dan terbuka bermula 6 pagi hingga 11 pagi, pasar malam 4 petang hingga 10 malam dan bazaria 5 petang hingga 11 malam.

Jarak sosial kedudukan gerai ditetapkan antara 1.5 hingga 2 meter dan lokasi kawasan perlu terbuka serta berpagar bagi mengawal laluan keluar masuk sehala.

Dalam pada itu katanya terdapat sedikit pindaan bagi SOP latihan sukan berpasukan dan sukan tempur.

Ujarnya pihak yang terbabit perlu membuat permohonan melalui persatuan kepada PBT untuk mendapatkan kebenaran memulakan latihan.

“Contohnya Pasukan bola sepak The Bos Gaurus nak mulakan latihan walaupun telah dibenarkan oleh kerajaan persekutuan tetapi mengikut SOP di negeri Perak kita meminta mereka memohon kebenaran daripada PBT melalui Persatuan Bola Sepak negeri Perak,” katanya.