IPOH: Kerajaan negeri Pakatan Harapan (PH) memberi ruang dan peluang kepada rakyat untuk bertukar-tukar pandangan mengenai hal-ehwal berkaitan negeri, empat bulan selepas mengambil alih tampuk pentadbiran negeri.

Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu berkata, bagi tujuan itu, kerajaan negeri menganjurkan Sesi Bicara Harapan Rakyat sebagai langkah proaktif kerajaan Pakatan Harapan bagi memberi ruang dan peluang kepada rakyat.

Menurut beliau, sesi itu adalah sebahagian dari pendekatan inklusif dan telus yang dijunjung oleh pentadbiran kerajaan negeri untuk membuka ruang kepada rakyat untuk berkongsi pendapat dan bertukar-tukar pandangan dengan pihak kerajaan negeri.

“Sesungguhnya prinsip inklusif dan ketelusan ini adalah paksi kepada semangat dan roh kerajaan negeri Pakatan Harapan yang berdiri teguh kepada mantra sebuah pentadbiran yang “datang dari rakyat, oleh rakyat, kepada rakyat”,” katanya ketika memberi ucaptama sesi itu di Casuarina@Meru, di sini, hari ini.

Kira-kira 1,600 pemimpin akar umbi mengambil bahagian di dalam sesi itu yang memberi tumpuan kepada agenda keadilan sosial dan demokrasi.

Mengimbas kembali tawaran Pakatan Harapan Perak semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu yang bertemakan “Bersama Harapan, Perak Kembali Gemilang”, Ahmad Faizal berkata, mereka bertekad untuk mengembalikan era kegemilangan negeri Perak supaya mampu berdiri sama tinggi dengan negeri-negeri yang kaya dan berdaya maju.

Menurutnya, bagi merealisasikan harapan rakyat Perak, Pakatan Harapan telah menggariskan Lima Agenda Utama yang merangkumi kebajikan dan ekonomi rakyat; amanah dan integrity; keadilan sosial dan integrity; budaya ilmu dan pendidikan serta alam sekitar dan komuniti.

Katanya, di bawah lima agenda utama itu, PH telah mengenalpasti 10 dasar tumpuan yang akan dilaksanakan dalam tempoh jangka pendek di antara satu hingga tiga tahun.

Beliau menaruh sepenuh keyakinan bahawa semua yang hadir pada majlis itu, datang dengan satu niat iaitu cinta kepada negara dan negeri.

“Di atas semangat patriotisme yang sejati ini, saya menyeru supaya kita semua melontarkan pandangan dengan penuh berkhemah. Peliharalah adab kita sebagai rakyat Malaysia yang terkenal dengan budaya sopan santun dalam menyatakan pandangan dan pendirian.

“Tetapkanlah niat bahawa kehadiran kita hari ini adalah bagi mencari jalan untuk mencapai titik tengah kepada perbezaan-perbezaan. Sesungguhnya, kerajaan baharu ini sangat meraikan semua pandangan dan pemikiran. Justeru, marilah kita meraikan perbezaan ini dalam landasan yang sama – iaitu mencari jalan menyatukan dan bukan memecahbelahkan,” ujarnya.

Beliau turut berharap agar semua pihak dapat membuktikan bahawa ruang kebebasan untuk bersuara ini digunakan dengan penuh berhemah, sekaligus membuktikan bahawa rakyat Malaysia telah matang dalam meraikan demokrasi, seperti yang telah dibuktikan dalam memastikan peralihan kuasa yang aman dan tenteram pada PRU ke-14 lalu.

“Adalah menjadi tanggungjawab kita untuk melihat isu-isu yang akan dibincangkan dalam majlis ini dari perspektif kecintaan kepada negara, dan bukannya atas kepentingan perkauman sempit mahupun politik kepartian, dan bukan juga atas kepentingan kelompok-kelompok tertentu.

“Di atas semangat cintakan negara dan negeri, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk mencari jalan bagi menyatukan rakyat dan bukannya membesarkan bibit-bibit perpecahan,” tambahnya.