IPOH – Perak berjaya meletakkan tanda aras baru kepada penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) selepas ia berlangsung dengan penuh cemerlang dan melepasi jangkaan yang ditetapkan.

Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu berkata, penganjuran temasya kali ke-19 yang berlangsung di semua 12 daerah seluruh Perak sejak 11 sehingga 22 September itu merupakan antara yang terbaik dalam sejarah penganjurannya.

“Dengan penuh perasaan yang penuh terharu, kami ingin menzahirkan kesyukuran kerana dengan berkat permuafakatan semua pihak, SUKMA Perak 2018 diterima sebagai antara terbaik dalam sejarah penganjurannya.

“Sesungguhnya penganjuran SUKMA 2018 ini juga telah mencetuskan minat yang mendalam rakyat Perak terhadap aktiviti sukan, kita dapat lihat bagaimana rakyat Perak hadir beramai-ramai di semua vanue pertandingan seluruh daerah memeriahkan kejohanan ini,” katanya ketika berucap dalam majlis penutupan Sukma ke-19, di sini pada Sabtu.

Menurut Ahmad Faizal, sebagai penganjur, kerajaan negeri amat berbangga dengan pencapaian atlet-atlet di dalam temasya itu dan ia memberi harapan baharu kepada Malaysia untuk membawa pulang kilauan emas pertama negara pada Sukan Olimpik masa hadapan.

“Kita berbangga dengan kejayaan atlet-atlet muda kita yang berjaya memecahkan dua rekod kebangsaan dalam acara masing-masing, tahniah juga kepada atlet-atlet yang turut berjaya memecahkan 17 rekod kejohanan SUKMA dalam acara masing-masing.

“Kejayaan atlet muda berusia 16 tahun dari Johor, Nurul Syasya Nadiah Mohd Arifin telah berjaya merangkul dua pingat emas dalam acara menembak, pelajar tingkatan empat ini adalah contoh betapa pentingnya bakat-bakat sukanengara dicungkil dan dipupu sedari peringkat awal untuk menggalas cabaran atlet-atlet senior kebangsaan dimasa depan.

“Alhamdulillah, kita berbangga kerana SUKMA ke-19 ini membuktikan kita tidak ketandusan bakat-bakat muda untuk diasuh dan dibentuk menjadi bintang sukan di peringkat antarabangsa,” ujar beliau.

Ahmad Faizal turut mengucapkan tahniah kepada kontinjen Terengganu yang telah ditabalkan sebagai juara keseluruhan temasya kali ini dan juga kepada pasukan bola sepak Perak kerana telah berjaya mempertahankan ibu segala pingat.

Beliau juga menzahirkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat menjayakan temasya yang buat pertama kalinya menggunakan konsep melibatkan kesemua daerah di sesuatu negeri.

“Syabas dan tahniah kepada semua pihak yang telah menjayakan misi ini, terima kasih juga semua rakyat Perak yang telah memeriahkan temasya sukan dwi tahunan ini.

“Buat para atlet dan pegawai dari semua kontinjen, saya bagi pihak kerajan negeri ingin menyusun jari memohon maaf di atas segala kekurangan dan ketidak sempurnaan sepanjang kami menyantuni kunjungan anda.

“Saya ingin mengucapkan selamat maju jaya kepada kerajaan negeri Johor Darul Takzim yang akan meneruskan tradisi penganjuran SUKMA ke-19, dua tahun dari sekarang,” kata beliau.