PARIT BUNTAR – Kerajaan negeri melalui Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) komited untuk membina 50,000 buah Rumah Perakku merangkumi perumahan kos rendah, sederhana dan mampu milik dalam tempoh lima tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan ne­geri, Abdul Yunus Jamhari berkata, fasa awal projek tersebut bakal menawarkan 750 unit rumah kos rendah kepada rak­yat negeri ini yang layak.

Beliau berkata, sambutan yang diterima daripada rakyat amat memberangsangkan apabila lebih 9,000 permohonan telah pun diterima setakat ini.

“Rumah kos rendah ditawarkan pada harga bermula RM70,000 bagi kawasan daerah dan RM90,000 untuk kawasan bandar.

“Bagi kategori rumah kos sederhana pula, ia ditawarkan bermula RM150,000 untuk kawasan daerah dan RM180,000 bagi kawasan bandar. Rumah mampu milik pula dijual pada harga RM250,000 ke bawah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas me­nyem­purnakan majlis penye­rahan surat tawaran kepada peserta Rancangan Perkam­pungan Tersusun (RPT) Kampung Raja Bashah 2, Kuala Kurau di sini semalam.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu negeri, Paul Yong Choo Kiong.

Ketika ini, sebanyak 4,024 unit rumah kos rendah, sederhana dan mampu milik sedang dibangunkan di beberapa lokasi di negeri ini.

Dalam pada itu, Abdul Yunus berkata, RPT Kampung Raja Bashah 2 pada asalnya merupakan penempatan semula setinggan melibatkan perkampungan nelayan di tepi sungai yang terancam oleh hakisan.

“Rumah yang didirikan secara pasang siap menggunakan Sistem Binaan Berindustri (IBS) ini berkeluasan 758 kaki persegi dilengkapi dengan tiga bilik tidur dan ditawarkan pada harga RM45,000 sebuah,” katanya – utusan online