IPOH: Perlumbaan basikal berstatus century ride paling berprestij, Perak Century Ride (PCR), kembali lagi untuk edisi yang keempat pada 6 Mei depan.

Atas permintaan ramai, penganjur mengekalkan laluan yang penuh dengan cabaran seperti pada tahun lalu yang bermula dan berakhir di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Perak di Gopeng.

Dari RTC Perak, pelumba akan melalui pekan Gopeng, Kuala Dipang, Tualang Sekah, Malim Nawar, Tanjung Tualang, Changkat Tin, Kampung Gajah, Memali, Lambor Kanan, Changkat Melintang, Bota Kanan, Titi Gantong, Bukit Kota, Gelung Pepuyu, pekan Beruas, Dendang, Talang, Tanjung, Belanja, pekan Parit, Kampung Piandang, Bemban, Kampung Pisang, Istana Kellie dan tamat di RTC Perak di Gopeng.

Pengerusi Program PCR 2018, Sharudin Not berkata, secara keseluruhan, laluan perlumbaan meliputi kawasan landai kecuali laluan berbukit dari Gelung Pepuyu ke pekan Beruas.

Selain mengekalkan laluan yang sama untuk kayuhan sejauh 160 kilometer itu, penganjur buat julung kalinya memperkenalkan kategori baharu iaitu basikal gunung dan basikal lipat.

“Dua kategori baharu ini bertujuan memberi peluang kepada peminat mountain bike dan folding bike untuk mengambil bahagian dalam kategori terbuka untuk bersama-sama merasai cabaran berkayuh sejauh 160 kilometer.

1a439d99-ba5d-461f-af71-2c68c26c5565

“Kami menghadkan 1,500 peserta sahaja untuk perlumbaan kali ini,” katanya di sini.

Menurut Sharudin, penganjur akan mengekalkan penganjuran terbaik PCR setelah mendapat pujian banyak pihak ketika penganjuran edisi tahun lalu.

“Ini merupakan cabaran buat kami dan mahu mengekalkan pengiktirafan yang diberikan menerusi kawalan oleh polis trafik dan marsyal yang berpengalaman bagi memastikan pelumba dapat berkayuh dengan lancar dan selamat,” ujarnya.

Beliau berkata, PCR 2018 mendapat kerjasama dan sokongan daripada kerajaan negeri Perak, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Tourism Perak, FAMA dan Persatuan Berbasikal Perak.

Keterangan lanjut dan maklumat terkini mengenai PCR 2018 boleh diperoleh di Facebook rasmi penganjur, Perak Century Ride 2018 atau menghubungi penganjur di talian 019-4311000.