IPOH, 30 DIS – Tourism Perak mengambil inisiatif menganjurkan program Adventure Tourism @ Perak FAM Trip dalam usaha menjenamakan negara sebagai Top of The Mind Ecotourism Destination of the World menerusi Dasar Pelancongan Negara 2020-2030.

Program tiga hari dua malam bermula pada Isnin melibatkan penyertaan 30 pengamal media, wakil agensi pelancongan, persatuan pelancongan lasak serta ekspatriat antarabangsa itu memberi peluang meneroka pelbagai aktiviti pelancongan lasak di Sunway Lost World Of Tambun, Gua Tempurung, Kellie’s Castle, TT5 serta beberapa lagi tarikan pelancongan lain.

Pengerusi Tourism Perak, Datuk Mohamad Kamil Shafie berkata, Perak menjadi destinasi popular negara dan menerima anugerah serta tersenarai 10 wilayah terkemuka dunia untuk dilawati oleh portal pengembaraan dunia, Lonely Planet.

Bagaimanapun menurutnya, negara turut menghadapi cabaran akibat pandemik Covid-19 yang memberi kesan kepada industri pelancongan.

“Covid-19 telah mengubah hidup kita kepada kebiasaan baharu. Bagaimanapun bagi memastikan industri pelancongan Perak diteruskan, Santai Travel melancarkan idea program perjalanan ke Gopeng.

“Perjalanan ini diharapkan dapat mempromosikan dan memperkenalkan banyak aktiviti dan produk baru yang ditawarkan Gopeng kepada pengunjung kami di mata dunia,” katanya ketika berucap pada majlis makan malam di Kepura Cave, Lost World of Tambun di sini.

Hadir sama, Pengurus Besar Lost World of Tambun, Nurul Nuzairi Mohd Azahari dan Pengurus Tugas Khas Kumpulan Media Karangkraf, Hashim Anang.

Mohamad Kamil berkata, Perak turut memperkenalkan produk baharu pelancongan agar industri itu sentiasa mampan, berdaya saing dan inklusif.

“Kita mempunyai pulau bebas cukai, Pulau Pangkor, Maze Garden di TT5, Tanjung Tualang dan Pulau Bangau, Teluk Intan yang menarik dengan lebih 30,000 pelbagai spesies bangau.

“Selain itu, kita ada galeri dan rumah Lat, kartunis popular dunia ‘Kampung Boy’ dan Silverlakes Premium Outlet iaitu lokasi menarik membeli belah sambil menikmati pemandangan indah tasik yang dijangka akan beroperasi pertengahan tahun depan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Perak, Nurmalis Musa berkata, jalinan kerjasama pintar antara media dan Tourism Perak itu dapat mempromosikan produk-produk ‘adventure tourism’ secara lebih menyeluruh lagi.

“Program ini juga membuktikan kerjasama media, agensi pelancongan serta kerajaan dapat menjayakan misi nasional membangun serta membina semula industri pelancongan yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19,” katanya. – SINAR HARIAN