TAPAH: Perak tidak akan terlibat dalam permainan sandiwara politik, sebaliknya mengambil pendekatan memberi fokus terhadap isu rakyat serta pembangunan negeri.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, ini kerana rakyat Perak lebih berminat untuk melihat bagaimana kerajaan negeri dapat menyelesaikan masalah dihadapi mereka secara langsung.

“Biarkan mereka bermain politik, walaupun saya tahu mereka juga memberi tumpuan kepada Perak dan menyerang kita, tapi kita mempunyai pendekatan berbeza.

“Kita langsung tidak terkesan kerana peranan kita sebagai pemimpin adalah untuk bekerja untuk rakyat.

“Saya telah lama menjadi Menteri Besar dan akhirnya soalan sebenar yang sering ditanya oleh rakyat adalah sama ada kerajaan negeri mahupun kerajaan pusat mampu atau pun tidak menyelesaikan masalah mereka, jadi kita tumpukan perkara itu sahaja,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan kilang batu batu milik Lhoist Group (Lhoist) di Batu 3, Temoh dekat sini pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan berkenaan tindakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammed yang sanggup bersengkokol dengan parti DAP untuk menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak.

Dr Zambry turut menyifatkan tindakan itu sebagai hanya sandiwara politik Dr Mahathir.

“Kita di Perak tidak terkesan dengan tindakan itu, itu hanya permainan politik Dr Mahathir untuk jatuhkan Najib.

“Kita tetap fokus dalam memberikan yang terbaik kepada rakyat jelata, itu matlamat kita kerana tindakan ini yang sebenarnya rakyat akan menilai,” jelasnya.

Pada 4 Disember lalu, Dr Mahathir telah menghadiri Persidangan Kebangsaan DAP Ke-50 yang nyata telah mengundang pelbagai reaksi daripada pelbagai pihak.