IPOH: Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang berkuatkuasa mulai Isnin memberi idea kepada sekumpulan anak muda di Ipoh, Perak untuk menganjurkan aktiviti riadah di rumah yang bukan sahaja menyeronokkan dan menyihatkan, malah turut menawarkan duit raya.

Dianjurkan Kelab Belia Generasi Kini (Ipoh Garden), Perak Freestyle Home Challenge 2020, terbuka kepada semua anak Perak atau mereka yang bermastautin di Perak, tanpa mengira jantina dan umur.

Tempat pertama menawarkan hadiah wang tunai RM1,000, kedua RM750, ketiga RM450 dan keempat RM200 manakala pemenang tempat kelima hingga 15 juga menerima hadiah wang tunai.

Penyelaras Perak Freestyle Home Challenge 2020, Imran Munawar Mohd Noordin berkata, cabaran itu yang bermula 6 hingga 12 Mei mendapat sokongan Pemangku Exco Belia dan Sukan Perak, Datuk Shahrul Zaman Yahya.

“Idea ini kita peroleh daripada berbincang dengan ahli-ahli kelab, ketika kita semua rakyat perlu berada di rumah mematuhi PKP menyebabkan ramai yang bosan kerana kita boleh keluar rumah.

“Ahli-ahli sukan yang suka beridah, bermain bola, imbang bola, berlari dan sebagainya, inilah peluang untuk kita membuat riadah dengan menawarkan hadiah yang seronok untuk kita dengar,” katanya ketika ditemui hari ini.

Menurutnya, mereka yang berminat hanya perlu merakamkan video berdurasi 10 hingga 20 saat aksi sukan atau riadah menggunakan kemahiran dan kreativiti masing-masing.

“Mereka boleh guna apa sahaja peralatan sukan, contohnya bola atau tisu untuk membuat imbangan ataupun segala freestyle, rekodkan video dan post kepada Facebook, Instagram ataupun Twitter dengan #PerakFreestyleHomeChallenge2020.
“Video itu perlu sekurang-kurangnya 10 saat sampailah ke 20 saat dan petugas kami akan melihat semua video itu melalui hashtag yang dikongsi itu,” ujarnya.

Menurut Imran semua video akan diadili mereka yang mahir dalam bidang masing-masing seperti pemain bolasepak Perak, pemain ragbi, pemain golf dan pemain hoki.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada Shahrul Zaman kerana memberi sokongan yang kuat terhadap cabaran yang dianjurkan di samping pelbagai akviti yang dianjurkan komuniti belia dan sukan di Perak.