IPOH: Kerajaan negeri Perak sentiasa menggalkkan mana-mana pihak, termasuk swasta untuk menganjurkan program bertaraf antarabangsa untuk menarik lebih ramai kedatangan pelancong sempena Tahun Melawat Perak 2017 (TMP2017).

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, kerajaan negeri juga akan menyokong usaha membawa masuk acara-acara yang boleh menarik ramai pengunjung, khususnya dari luar negara.

Perak-program-antarabangsa

Sehubungan itu, beliau mengalu-alukan usaha Perak Bikers atau Apps Bikers yang akan menganjurkan Perak International Bike Week 2017 Vol 1 yang dijangka 3 – 5 November depan.

“Saya difahamkan selain daripada penyertaan dari seluruh negara, terdapat juga peserta dari negara-negara Asia dan Amerika Syarikat,” katanya kepada pemberita selepas
majlis perasmian dan pelancaran Riders App serta pengumuman tarikh Perak International Bike Week 2017 Vol 1 di dataran Masjid Al- Ansar di Meru pada Sabtu.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif KPerak, Mohd Nazaruddin Mohd Yusof, Pengarah JPJ Perak, Zawawi Zakaria, Pengarah Pelancongan Negeri Perak, Mohd Hizaz Mohd Ibrahim dan Presiden App Bikers, Azhar Sulaiman.

Lebih 500 penunggang motosikal daripada 18 kelab seluruh negeri Perak mengambil bahagian di dalam majlis pelancaran itu yang turut menyaksikan aksi kemahiran menunggang motosikal berkuasa besar.

Aplikasi Riders App telah diilhamkan oleh tiga anak Perak daripada Apps Bikers, dengan kerjasama syarikat Appsquest Sdn Bhd.

Aplikasi itu mula direka cipta pada 18 Februari lalu dan sejak mula diperkenalkan kepada pengguna di google playstore pada 19 Februari, ia mempunyai lebih 8,000 pengikut.

Aplikasi itu antara lain untuk membantu pemilik serta peminat motosikal atau sesiapa sahaja, sekiranya berlaku kecemasan atau kerosakan.

Nolee berkata, pihak KPerak akan membantu untuk memperkemaskan aplikasi itu yang pertama seumpamanya di Malaysia dan Asia.

Dalam masa sama, beliau menggalakkan usahawan muda di negeri ini untuk mencipta aplikasi bagi mengembangkan perniagaan mereka di dalam dunia ekonomi digital sekarang.