TAIPING – Kerajaan negeri sedang mengkaji mekanisme pelaksanaan projek pemindahan air dari Sungai Perak ke Tasik Bukit Merah secara paling ekonomi dan menjimatkan kos bagi memastikan bekalan air alternatif menampung keperluan tasik itu dapat direalisasikan.

Exco Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Peladangan, Abdul Yunus Jamhari berkata, cadangan itu diakui pernah dibangkitkan kerajaan terdahulu melalui kaedah pembinaan terowong air dianggarkan bernilai RM200 juta hingga RM300 juta.

Namun, beliau menegaskan ianya masih di peringkat kajian semua pihak termasuk Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan Malaysia(Nahrim) dan belum dimuktamadkan.

“Tidak dinafikan cadangan projek itu penting kepada penduduk kawasan utara Perak kerana dari segi sumber bekalan air, kawasan itu memang mengalami masalah bekalan sumber air bersih.

“Jadi perancangan akan datang, kerajaan negeri akan mencari sumber air alternatif bagi menampung bekalan air Tasik Bukit Merah dan proses pemindahan air dari Sungai Perak adalah salah satu kaedah.

“Namun, kerajaan kini sedang mencari kaedah memindahkan air sungai secara paling ekonomi dan menjimatkan kos seperti pembinaan kolam tadahan air alternatif berdekatan Tasik Bukit Merah atau saluran terbuka,” katanya kepada media selepas merasmikan majlis mesyuarat jawatankuasa teknikal Kajian Peningkatan Pengurusan Sumber Air Untuk Skim Hidroelektrik Sungai Perak di sini hari ini.

Majlis itu turut dihadiri Timbalan Ketua Pengarah Nahrim, Ir Fauzi Mohamad, Pengurus Besar Lembaga Air Perak(LAP), Datuk Ir Mohd Yusof dan Pengarah Pusat Kajian Lembangan Sungai Nahrim, Datuk Dr Nasehir Khas E M Yahaya.

Abdul Yunus berkata, cadangan projek pemindahan air itu agak penting namun memerlukan kelulusan kerajaan pusat kerana projek ini melibatkan kos perlaksanaan agak besar.

Dalam perkembangan lain, Abdul Yunus menegaskan kerajaan negeri dengan kerjasama Nahrim sedang menjalankan penyelidikan untuk menghasilkan ‘Integrated Water Resources Optimization Models’.

Menurutnya, fokus penyelidikan menjurus kepada usaha menangani keseimbangan air semasa musim kemarau terutama aspek permintaan dan penawaran air di lembangan Sungai Perak serta pelan pengurusan dan pembangunan endapan bagi lembangan itu.

“Dalam kajian Nahrim, kita lihat kepada fokus keperluan dari segi perlepasan air kawasan empangan dengan pengguna air di bahagian hilir sungai agar sentiasa mencukupi.

“Maksudnya Tenaga Nasional Berhad (TNB) boleh menjana elektrik menggunakan kapasiti air sungai mencukupi, pada masa sama aktiviti lain berkaitan air sungai turut berjalan meskipun dalam musim kemarau dan tidak berlaku banjir pada musim hujan,” katanya.

Sementara itu, Ir Mohd Yusof mendedahkan Perak kini menghadapi masalah mengalirkan air sungai terus ke dalam di dua lokasi loji rawatan air susulan masalah aliran air agak rendah disebabkan pelebaran Sungai Perak.

Susulan itu, beliau menegaskan LAP terpaksa menyediakan dua pam bagi meningkatkan jumlah kemasukan air sungai agar boleh memasuki dua loji di Kampung Senin dan Kota Lama Kiri, Kuala Kangsar.

“Kebelakangan ini kadar intake paras muka sauk dan loji di dua kawasan itu semakin turun kerana aliran air sungai agak rendah.

“Jadi bengkel penyelidikan dijalankan ini penting kerana hasilnya termasuk kerja-kerja pemuliharaan, pemeliharaan dan pengurusan alam sekitar di Lembangan Sungai Perak akan dilaksanakan secara bersepadu yang dilihat mampu mengurangkan masalah endapan, hakisan dan keperluan air,” katanya – sinar