IPOH : Finalis Piala FA musim lalu, Perak dan Kedah akan berentap merebut perisai ‘Unity Shield’ di Stadium Perak, di sini pada 15 Februari ini.

Setiausaha Kehormat Persatuan Bolasepak Perak (PAFA), Mohamad Azlin Mohd Nadzri berkata, penganjuran kali kedua itu merupakan simbol persahabatan dan hubungan akrab antara PAFA dan Persatuan Bolasepak Kedah (KFA).

Menurutnya, sejak tahun lalu, kedua-dua pasukan telah membuat keputusan untuk mengadakan perlawanan merebut Unity Sheild setiap tahun sebelum bermulanya Liga Malaysia sebagai satu perlawanan pemanas badan yang kompetatif.

“Perlawanan ini juga merupakan medan penyatuan peminat negeri Perak dan Kedah, dan akan memberi peluang kepada mereka untuk melihat perkembangan skuad terkini Perak,” katanya dalam sidang media hari ini.

Menurutnya, sebahagian hasil kutipan tiket perlawanan itu akan digunakan bagi membantu bekas-bekas pemain yang pernah beraksi untuk skuad The Bos Gaurus.

“Pihak PAFA telah mengenalpasti beberapa bekas pemain Perak yang ingin kami bantu meringankan beban mereka dan akan menerima manfaat daripada hasil kutipan tiket pada hari perlawanan.

“Sumbangan ini juga merupakan kesinambungan daripada penganjuran tahun lepas dan merupakan salah satu objektif penganjuran yang telah ditetapkan,” ujarnya.

Perlawanan merebut ‘Unity Shield’ dianjurkan secara tahunan secara bergilir-gilir di Alor Setar dan Ipoh.

Pada tahun lepas, Kedah muncul juara edisi sulung kejuaraan selepas menumpaskan Perak 2- 0, hasil jaringan Fernando Rodriquez dan Syahrul Azwari di Stadium Darul Aman, Alor Setar.

Tiket perlawanan akan dijual pada pada hari perlawanan dengan kadar RM10 (teres terbuka) dan RM5 (kanak-kanak).