IPOH: Perak akan mengemukakan semula cadangan untuk membina lapangan terbang baharu yang mempunyai landasan sekurang-kurangnya 3.5 kilometer panjang di kawasan yang tidak jauh daripada Ipoh.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, kawasan tersebut pernah dicadangkan sebelum ini tetapi dihentikan kerana terdapat cadangan pembangunan lain.

Beliau bagaimanapun enggan menamakan kawasan itu tetapi memberitahu, ia dipilih kerana merupakan kawasan pertumbuhan di samping bentuk muka buminya yang sesuai.

“Kita sedang membuat perincian dan kita mengharapkan agar tempat yang akan dipilih itu nanti mendapat kelulusan daripada kerajaan Persekutuan,” katanya kepada pemberita selepas program Selamat Pagi Perak Bersama Dr Zambry di RTM Perak di sini pada Isnin.

Dr Zambry berkata, beberapa perbincangan awal telah diadakan dan kerajaan negeri memerlukan beberapa penelitian, termasuklah melalui kerajasama dengan pihak Kementerian Pengangkutan dan Jabatan Penerbangan Awam (DCA).

Bagaimanapun, ujarnya, jika dilihat dari segi keadaan latarbelakang dan kedudukan muka bumi yang ada di kawasan berkenaan, beliau yakin ia tidak akan memberi masalah besar kepada tempat tersebut.

Tambahan pula, kata beliau, ia tidak terlalu dekat dengan lapangan terbang lain dan sibuk seperti di Pulau Pinang.

Beliau memberitahu, pendekatan pelaksanakan lapangan terbang itu akan dilaksanakan sama ada terus oleh kerajaan Persekutuan atau kerjasama antara pihak swasta dan kerajaan.

Menurutnya, cadangan lapangan terbang baharu itu bukan sahaja bagi tujuan sektor pelancongan tetapi juga dalam sektor industri lain seperti baik pulih pesawat (MRO – maintenance, repair and overhaul).

Untuk rekod, pada 2011, Dr Zambry telah memohon kepada kerajaan Persekutuan agar lapangan terbang baru dibina di Lembah Bariah, Bagan Serai tetapi dikatakan tidak sesuai kerana kedudukannya yang dekat dengan lapangan terbang Pulau Pinang.

Pada persidangan Dewan Undangan Negeri Perak 2014 pula, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan, Hal Ehwal Bukan Islam, Integrasi Nasional dan Kampung Baharu negeri, Datuk Dr. Mah Hang Soon memberitahu, Kerajaan negeri sedang meneliti cadangan membina sebuah lapangan terbang di Seri Iskandar di daerah Perak Tengah.