SITIAWAN – Kerajaan negeri komited untuk mengekalkan kemenangan pavilion negeri terbaik bagi kali keempat sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro Antarabangsa (MAHA) 2018 November ini.

Exco Kerajaan Perak, Abdul Yunus Jamhari berkata, persiapan rapi sedang dilakukan bersama pelbagai agensi dan jabatan terlibat termasuklah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) dalam memeriahkan lagi pavilion negeri sempena pameran yang berlangsung selama 11 hari bermula 22 November depan.

“Sudah tentu di bawah pentadbiran kerajaan negeri baharu kita mahu kekalkan kemenangan tiga kali berturut-turut sebelum ini pada MAHA 2018 dan persiapan rapi sedang dijalankan.

“Walaupun Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani dari Johor kita akan beri saingan untuk kekalkan kemenangan bagi kali ke empat berturut-turut,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di Pasar Komuniti dan Karavan (Pakar) di Seri Manjung serta Pasar Tani Kekal (PTK) Lekir di sini, hari ini.

Menurut Abdul Yunus, pengunjung MAHA 2018 akan diberi kejutan besar apabila melawat Pavilion Perak yang bakal memberikan elemen baharu serta segar berbanding MAHA sebelum ini.

“Kita akan tonjolkan produk popular termasuk makanan popular, makanan warisan dan pelbagai lagi pada MAHA kali ini buat semua pengunjung,” katanya.

MAHA 2018 bakal berlangsung bermula 22 November depan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) dan menyasarkan lebih 3.5 juta pengunjung dari dalam dan luar negara.

Sementara itu, mengulas mengenai pembinaan PTK di Perak, Abdul Yunus berkata, pihaknya merancang untuk menambah jumlah pasar tersebut selepas melihat kejayaan PTK Lekir yang merupakan PTK pertama di negeri ini.

“Kita akan terusan pembinaan PTK di Kampung Gajah dan seterusnya akan melihat kepada kemampuan kewangan kerajaan untuk membina PTK ketiga di Daerah Kerian,” katanya – sinar