IPOH: Perak melancarkan program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) Islamik atau Teknohafiz bagi memberi nilai tambah kepada bidang pendidikan baharu tahfiz berasaskan TVET.

Ia memberi penekanan serampang dua mata membabitkan menghafaz Al-Quran dan latihan kemahiran kepada pelajar pusat tahfiz di seluruh negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam dan Penerangan Perak, Mohd Akmal Kamarudin berkata, setakat ini enam pusat kemahiran awam telah dipilih untuk program itu, antaranya Giatmara, Institut Latihan Perindustrian (ILP), Kolej Komuniti, Institut Kemahiran Mara (IKM) dan Kolej Risda.

“TVET telah menawarkan lebih kurang 300 lebih kemahiran yang ditawarkan dan insya Allah akan dipilih untuk memberi kemahiran kepada para pelajar tahfiz supaya akan datang mereka bukan sahaja menghafaz Al-Quran tapi mereka ada kemahiran-kemahiran ini.

“Dari segi kalau ada masalah pekerjaan dalam bidang tahfiz dan mungkin mereka boleh menceburi bidang yang lain seperti berniaga dan lain-lain,” katanya selepas melancarkan program Teknohufaz di Laman Seri Ridzuan, di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah Jabatan Agama Islam Perak, Datuk Mohd Yusop Husin dan Pengarah Pusat Aspirasi Anak Perak, Misbahul Munir.

Setakat ini, Perak mempunyai 83 buah tahfiz yang berdaftar atau purata lima tahfiz di setiap daerah di samping 32 lagi dalam proses pendaftaran.

Daripada 83 tahfiz yang berdaftar, 59 menawarkan program hafazan sepenuhnya manakala 24 lagi menawarkan program hafazan dan akademik.

Di dalam ucapannya, Mohd Akmal berkata, aktiviti dan silibus program itu akan disusun bersama agar bersesuaian dengan sistem pendidikan di pusat tahfiz tanpa mengganggu fokus utama pengajian iaitu hafazan Al Quran dan pengajian kitab.