IPOH: Kerajaan negeri Perak sekali lagi mencipta sejarah apabila melantik Rumaizi Baharin selaku Pengarah Pejabat Tanah dan Galian PTG) yang baru sekaligus menjadikannya ketua jabatan termuda sepanjang penubuhan organisasi berkenaan.

Pengumuman itu dibuat Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir yang bukan sahaja memuji kebolehan Rumaizi dalam hal ehwal perundangan tanah, namun juga kredibiliti beliau dalam melaksanakan sebarang perihal berkaitan jabatan berkenaan.

Beliau berharap agar Rumaizi yang dilantik secara rasmi pada 27 March lepas dapat meneruskan legasi pengarah terdahulu, Datuk Syed Mokhtar Syed Idris yang berjaya mengendalikan keputusan mesyuarat dengan pantas serta mengurus tadbir jabatan berkenaan dengan efisien.

“Saya berharap dengan bimbingan daripada ketua lamanya, Rumaizi dapat melaksanakan tanggungjawab dengan sebaiknya, perlantikan beliau merupakan sebahagian daripada hasrat dan transformasi kerajaan negeri yang yakin dengan kemampuan beliau walau menggalas tugas pada usia muda,” katanya dalam sidang media di Bangunan Darul Ridzuan pada petang Jumaat.

Rumaizi, 42, merupakan lulusan Sarjana Muda Perakaunan di Universiti Utara Malaysia yang bukan sahaja berpengalaman dalam PTG selaku Timbalan Ketua Pengarah sejak Januari 2016 malah arif dalam pengendalian hal ehwal perundangan tanah.

Setelah tiga tahun bersama dengan Kementerian Kemajuan Luar Wilayah dan Pembangunan Bandar, Rumaizi dilantik Setiausaha Dewan Negeri Perak dalam usia seawal 32 tahun sejak 2009 hingga 2016.

Lulusan Sarjana Pentadbiran dan Pengurusan Tanah dari Universiti Teknologi Malaysia itu juga berharap agar beliau dapat mendukung sasaran kerajaan negeri dalam mengawal selia sumber asli, meningkatkan pendapatan dan hasil negeri dan mengelakkan daripada berlakunya perlanggaran undang-undang tanah dan galian.

“Gembira namun berbaur tanggungjawab, mandat ini akan saya laksanakan dengan sebaiknya untuk kemajuan Perak,” kata anak jati Ipoh itu.