Oleh:Nazialita Geynna Maharan

IPOH: Kredibiliti Perak sebagai antara tumpuan wajib dilawati merupakan sesuatu yang tidak dapat disangkal, apatah lagi dengan pengiktirafan berprestij daripada majalah terkemuka Lonely Planet.

Malah, Perak yang menerima pelancong tujuh juta kadar kemasukan pelancong tahun lalu merupakan bukti kukuh bahawa produk pelancongan di negeri ini berkelas antarabangsa dan wajar dinaikkan ke peringkat global.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia, Datuk Nolee Ashilin Radzi berkata kesemua kawasan pelancongan dibahagikan kepada tujuh kluster utama dari Ipoh sehingga ke Tapah.

Katanya, meskipun ada pihak yang cuba membandingkan keindahan negeri ini dengan negeri lain di Malaysia, jelas Perak mempunyai keunikan tersendiri, baik dari kraftangan, bangunan prasejarah mahupun percaturan budaya pelbagai hasil perlombongan bijih timah dahulu.

Malah, Pengerusi Perak Tourism Management Sdn Bhd yang juga ADUN Manong, Datuk Mohd Kamil Shafie turut menegur cubaan pihak yang cuba memperkecilkan limpahan produk pelancongan di negeri ini.

Berikut beberapa tempat menarik seluruh negeri yang menjadi Ikon Tourism Perak untuk dibawa ke mata antarabangsa:
1. Pulau Pangkor

Pulau ini merupakan resort indah yang sesuai bagi mereka ingin melapangkan dada dan bercuti di hujung minggu bersama keluarga di mana penggemar burung pasti teruja untuk mengetahui mereka boleh memberi makan kepada burung enggang di Teluk Nipah pada waktu petang.

Pernah menjadi lokasi utama untuk kediaman mewah pemimpin Belanda, pelancong boleh singgah ke pulau ini bagi menikmati kelembutan pasir di Pantai Pasir Bogak dan sepanjang persisiran lautnya.

pangkor

2. Pulau Orang Utan-Bukit Merah Laketown Resort

Pulau ini merupakan “rumah” atau pusat perlindungan utama kepada beberapa ekor Orang Utan dari Sumatera yang kini dijaga dengan teliti oleh pihak perubatan pakar dan pelancong boleh menaiki bot untuk melihat sendiri mamalia bersaiz besar dan manja ini.

Kesemua Orang Utan mendiami pulau tersebut sebagai salah satu kaedah untuk tujuan rehabilitiasi, pemeliharaan dan bagi membantu pelajar dalam bidang veterinary untuk memahami kehidupan dan cara penjagaan mamalia yang tersenarai dalam haiwan semakin pupus ini.

orangutan

3. Royal Belum Rainforest Resort

Bagi mereka yang ingin merasai sendiri keheningan dan kesegaran hutan Amazon atau Congo, anda tidak perlu pergi jauh kerana hutan hujan yang terletak di Gerik ini sebenarnya lebih tua daripada kedua-dua hutan terkenal itu, dengan usia menjangkau 130 juta tahun!

Perjalanan memakan masa selama dua jam setengah ke Jeti Banding dan seterusnya menaiki bot di sekitar tasik buatan manusia, menikmati keindahan bunyi alam flora dan fauna, dan jika anda bertuah anda bakal disapa oleh ikan toman bersaiz besar di bot anda!

Selain tiga jenis Rafflesia terbesar dunia, Royal Belum juga menjadi habitat utama bagi 10 jenis burung enggang, harimau Malaya, Gajah Asia dan Badak Sumbu Sumatera yang semakin pupus pada hari ini.

Belum Rainforest Resort Commercial Shoot
Belum Rainforest Resort Commercial Shoot

4. Taman Kolam Air Panas Sungai Klah

Terletak di bahagian selatan negeri dalam daerah Batang Padang, kolam air panas ini direka bentuk sebagai sebuah kolam air panas, pusat mandi-manda dan taman terapi di salah satu kaki Banjaran Titiwangsa yang terkenal.

Pelancong boleh mengunjungi kawasa berkenaan dan menempah untuk tidur semalaman di Kediaman Felda untuk benar-benar merasai impak berada di antara alam semulajadi.

sg klah

5. Hutan Simpan Bakau Matang (Matang Mangrove Forest Reserve)

Dikenali sebagai salah satu lokasi pengurusan kayu bakau dan hutan ekosistem bakau terbaik di seluruh dunia, kawasan ini telah beroperasi secara efisien di Kuala Sepetang sejak tahun 1902.

Meliputi kawasan seluas 40,000 hektar, ianya membekalkan pengeluaran kayu bakau berkualiti dan menjadi salah satu produk utama bagi negeri Perak,selain menjadi habitat bagi pelbagai hidupan liar di kawasan bakau.

Matang Mangrove Forest1

6. Muzium Arkeologi Lenggong

Pasti ramai yang tidak ingin ketinggalan mengetahui lokasi di mana Perak Man, rangka manusia berusia 11,000 tahun ditemui sekaligus membongkar tamadun Zaman Batu yang sebenarnya berada di negeri Perak.

Diiktiraf sebagai Tapak UNESCO, lokasi ini adalah antara tempat yang wajib dikunjungi ketika beada di Perak.

arkeologi-lenggong

7. Stesen Keretapi Ipoh

Dikenali sebagai Taj Mahal of Ipoh, arkitek bangunan tersergam indah yang masih kukuh sejak tahun 1914 ini merupakan A.R Hubback, yang membuahkan idea bagi pembinaan Stesen Keretapi Kuala Lumpur.

Berfungsi sebagai landasan Keretapi Tanah Melayu (KTM) pada hari ini, bangunan ini menggabungkan elemen Mongul, Asia, Oriental, Inggeris dan Eropah dan masih berdiri teguh sehingga hari ini dan menjadi kebanggaan warga Ipoh.

KTM

Terdapat banyak lagi lokasi wajib lawat di sekitar Perak yang patut menjadi kebanggaan warga negeri ini antaranya Gua Tempurung, Gopeng, yang merupakan gua batu kapur terbesar di seluruh Semenanjung Malaysia, Masjid Ubudiah yang dikenali sebagai antara masjid tercantik seluruh Malaysia di Bukit Chandan, Kuala Kangsar,dan Zoo Taiping dan Night Safari yang menempatkan lebih daripada 180 spesies haiwan sejak 1961.