PARIT: Kerajaan negeri Perak mahu menjalankan kajian terperinci mengenai salah seorang tokoh kemerdekaan negara, Nasaruddin Abdul Rais yang tidak begitu dikenali kerana kurang maklumat sejarahnya.

Peranan besar yang dimainkan Allahyarham dalam perjuangan kemerdekaan Tanah Melayu sekitar pertengahan 1940an hingga 1953, boleh menjadi contoh kepada generasi muda sekarang.

Exco Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Perak, Khairul Shahril Mohamed yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bota berkata, pihaknya bersedia bekerjasama dengan pihak Universiti Malaysia untuk membuat kajian itu.

Sot: Khairul Shahril Mohamed / Exco Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Perak & ADUN Bota.

“Kita mahu membuat kajian lebih terperinci dan dan akhirnya hasrat kita untuk menghasilkan sebuah buku berkaitan dengan tokoh kita Nasaruddin Rais ini.

“Bagi saya kita perlu angkat Allahyarham sebagai satu contoh untuk kita naikkan semangat anak muda kita, khususnya dalam konteks perjuangan kehidupan dan juga negara kita,” katanya.

Beliau ditemui selepas menyambut Konvoi Pelancongan Warisan Daerah Perak Tengah di rumah keluarga Nasaruddin Abdul Rais di Kampung Padang Tenggala, dekat sini, hari ini.

Allahyarhan Nasaruddin adalah antara tokoh pejuang kemerdekaan negara yang memainkan peranan besar dalam perjuangan mendapatkan kemerdekaan Tanah Melayu antara pertengahan 1940 an hingga 1953.

Beliau meninggal dunia pada 1953 ketika berusia 39 tahun, dalam nahas kapal terbang di Culcatta, India semasa dalam perjalanan mewakili negara ke Persidangan Getah Asli Sedunia di Copenhagen, Denmark.

Antara jasa besar Allahyarham ialah berjaya mendesak kerajaan British pada 1947 bagi mendapatkan tanah seluas lebih 8,000 hektar di kawasan Hutan Simpan Bota untuk diagihkan kepada penduduk miskin di tiga buah mukim di Bota, Layang-Layang dan Lambor sebagai tapak rumah dan kebun.

Sebagai mengenang peranan dan jasanya, nama Allahyarham telah diabadikan di Felcra Nasaruddin di Bota Kanan.