KUALA KANGSAR: Selepas 18 tahun tidak menjuari Piala Malaysia, Perak tekad untuk merampas kembali kejuaraan itu sebagai hadiah sempena sambutan keputeraan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang jatuh pada 3 November depan.

Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Hasnul Zulkarnain Abd Munaim berkata, berdasarkan persembahan ketika suku akhir dan pusingan pertama separuh akhir, beliau yakin pemain-pemain Perak mampu melakukannya.

Beliau juga yakin dengan kemampuan ketua jurulatih, Mehmet Duraković untuk mencorak permainan anak-anak buahnya dalam pusingan kedua separuh akhir menentang Sabah, pada Ahad ini.

“Saya lihat para pemain mencapai puncak permainan ketika suku akhir menentang PKNS FC dan pusingan pertama separuh akhir menentang Sabah.

“Saya percaya mereka mampu melakukannya sehingga ke perlawanan akhir, insya Allah pada 27 Oktober nanti, di Stadium Shah Alam,” katanya selepas majlis penyampaian anugerah kecemerlangan SMK Sayong, di sini, hari ini.

Perak akan menentang Sabah pada separuh akhir kedua, berbekalkan kemenangan selesa 5-0 di gelanggang sendiri awal bulan ini.

Lagi berita gembira untuk Perak apabila lima tunggak utama yang mewakili skuad kebangsaan pada perlawanan persahabatan menentang Sri Lanka dan Republik Kyrgyz pada 12 dan 16 Oktober lalu, boleh beraksi pada perlawanan menentang Sabah, Ahad ini.

Mereka ialah Muhammad Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy, Shahrul Mohd Saad, Amirul Azhan Aznan, Kenny Pallraj dan Norhakim Hassan.

Hasnul memberitahu, sekiranya Perak layak ke perlawanan akhir, pihaknya sendiri akan menyediakan sekurang-kurangnya 10 buah bas dengan tiket percuma untuk membawa penyokong ke Shah Alam.

“Kita akan cuba mendapatkan lebih banyak penaja untuk membawa lebih ramai penyokong, di samping potongan istimewa harga tiket,” ujarnya.