IPOH : Kerajaan negeri Perak mahu memperluaskan lagi hubungan dengan Bandaraya Fukuoka di Jepun yang telah terjalin sejak lebih 30 tahun lalu.

Selain hubungan antara kerajaan melalui pertukaran pegawai dan pelajar, Perak mahu hubungan itu diperluaskan kepada hubungan penduduk dengan penduduk.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, kerjasama akan diperluaskan lagi untuk merangkumi segenap aspek masyarakat seperti pendidikan, budaya, warisan pelancongan dan sebagainya.

“Saya juga berharap, para usahawan dari Ipoh dan negeri Perak akan meneroka pasaran besar Bandaraya Fukuoka dan negara Jepun amnya, melalui hubungan baik yang sedia terjalin ini.

“Kita yakin, banyak peluang yang boleh diteroka untuk memberikan limpahan sosio-ekonomi kepada rakyat kedua-dua bandaraya dengan menubuhkan jawatankuasa khusus untuk membentuk jalinan kerjasama para usahawan dari kedua-dua bandaraya,” katanya.

Beliau berucap di majlis makan malam sempena sambutan ulangtahun ke 30 Bandaraya Berkembar Ipoh – Fukuoka di Ipoh pada Rabu.

Hadir sama Datuk Bandar Fukuoka, Takashima Soichiro dan Datuk Bandar Ipoh, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.

Ahmad Faizal berkata, selain Ipoh hubungan akan dieratkan lagi dengan Perjanjian Persefahaman kerjasama di antara Zoo Taiping & Night Safari dan Fukuoka City Zoological Garden berhubung pertukaran haiwan.

Beliau yakin, usaha itu akan merintis jalan kepada lebih banyak kerjasama di antara Bandaraya Fukuoka dengan bandar-bandar lain di negeri Perak.