IPOH: Kerajaan negeri Perak mahu jabatan kerajaan memberi tumpuan untuk memperkenalkan inovasi baharu bagi memperkemaskan pengkalan data agar setiap bantuan dapat disalurkan kepada golongan sasar.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, berdasarkan kepada pengalaman sejak pandemik COVID-19, inovasi baharu perlu bagi mengurangkan keciciran bantuan kepada golongan sasar dan menambahbaik sistem pangkalan data.

Menurutnya, bantuan bukan hanya mengenai makanan atau wang ringgit, sebaliknya secara holistik termasuk khidmat sokongan moral, latihan semula dan bantuan memulakan perniagaan kecil-kecilan.

“Saya dapati oleh kerana masalah yang terbesar yang kita hadapi adalah dari segi data. Contohnya, data kemiskinan, hari ini mungkin kita dalam keadaan ok tetapi oleh kerana berlaku kemalangan dan sebagainya, tiba-tiba kita berada di dalam golongan sasar, golongan miskin.

“Jadi untuk kita kesan golongan seperti ini bukan mudah,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Sambutan Hari Inovasi Peringkat Negeri Perak di sini hari ini.

Menurutnya, inovasi baharu juga akan membantu meningkatkan daya saing negara dalam persekitaran pelaburan dunia yang sangat mencabar sekarang.

Terdahulu di dalam ucapannya, Ahmad Faizal berkata, pandemik Covid-19 ini juga secara tidak langsung menuntut kepada perubahan dalam sistem penyampaian kerajaan.

“Di sinilah kita melihat bagaimana inovasi dan adaptasi norma baharu dalam sistem kesihatan, keselamatan dan sosio-ekonomi, menjadi senjata utama dalam peperangan kita melawan pandemik Covid-19,” ujarnya.
 

Menurutnya, krisis kesihatan itu juga telah memberi impak yang sangat besar kepada ekonomi global dan Bank Dunia menganggarkan kesan kemelesetan ekonomi akan menyebabkan 88 juta sehingga 115 juta penduduk dunia menjadi golongan miskin tegar.
 

“Negara kita juga tidak terlepas daripada impak ekonomi. Kita menjangkakan bilangan isi rumah miskin di negeri ini akan meningkat akibat kehilangan pekerjaan dan penyusutan pendapatan.

“Bagi mengurangkan beban  golongan yang terjejas ini, Kerajaan Negeri akan sentiasa mencari jalan untuk memberi bantuan melalui agensi-agensi yang terlibat,” katanya.