LENGGONG: Kerajaan negeri perak mahu semua pihak, khususnya Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan Jabatan Kesihatan mengambil langkah bagi mengawal kes rabies yang telah dikesan di Kuala Sepetang, Taiping.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Modal Insan, Datuk Saarani Mohamad berkata, beliau baharu sahaja dimaklumkan mengenai dua kes itu hari ini.

Bagaimanapun, ujarnya, setakat ini pihaknya belum mendapat maklumat tepat mengenai kes berkenaan yang menyebabkan kedua-dua mangsa diberi rawatan lanjut di Hospital Taiping.

“Saya sudahpun berhubung dengan Dr Fuziah Muhayat, Pengarah Jabatan Veterinar Negeri supaya dia dapat memaklumkan kepada saya kedudukan yang sebenarnya dan jika ia adalah satu kes yang betul, maka Jabatan Veterinar hendaklah mengambil tindakan-tindakan yang sewajarnyalah supaya ia tidak merebak dan menjadikan orang panik.

“Kita juga meminta supaya Jabatan Kesihatan bersiap siaga kerana kita tidak mahu nanti perkara sebegini menular dan jika ia serius, maknanya kita kena mengambil tindakan yang sewajarnya supaya ia tidak membimbangkan rakyat negeri Perak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian penutup Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Lenggong dan Jamuan Hari Raya di Maktab Rendah Sains MARA Lenggong di sini pada Ahad.

Beliau mengulas mengenai laporan mengenai Jabatan Perkhidmatan Veterinar melaksanakan pemvaksinan anjing-anjing bertuan di Kuala Sepetang, susulan kes rabies atau penyakit anjing gila dikesan di kawasan itu.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar, Datuk Dr Quaza Nizamuddin Hassan Nizam bagaimanapun berkata, orang ramai tidak perlu bimbang kerana kawasan jangkitan adalah terhad kepada satu kampung sahaja dengan aktiviti pemvaksinan dilaksanakan dalam lingkungan 1km radius daripada kes tersebut dikesan.

Kes dikesan apabila seorang pemilik anjing membuat laporan pada 13 Julai lepas (Khamis) bahawa anjing miliknya telah mati selepas lapan hari menggigit anak perempuan dan anak saudaranya.