PARIT : Kerajaan Persekutuan diminta menyegerakan pembinaan Hospital Daerah Perak Tengah di Seri Iskandar.

Menurut Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir pembinaan hospital itu merupakan salah satu janji dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke 13 lalu.

“Hospital itu kini di peringkat reka bentuk yang dijangka siap pada Mei tahun ini.

“Saya telah berbincang dengan bahagian kesihatan JKR dan Kementerian Kesihatan akan membuka tender untuk pembinaan hospital,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Mini Karnival Teras Keselamatan di SMK Layang-Layang Kiri, Parit pada Rabu.

Mengenai banjir, Dr Zambry berkata, kerajaan negeri akan mengambil langkah proaktif bagi menangani masalah banjir.

Katanya, kerajaan negeri telah mengenal pasti lima kawasan dalam Daerah Perak Tengah yang sering berlaku banjir dan akan mengambil langkah untuk mengatasinya.

Beliau berkata punca berlakunya kejadian banjir ini disebabkan masalah perparitan dan jalan rendah.

“Ia melibatkan aliran air yang sekarang ini semakin bertambah dan kawasan perumahan yang ada di antara jalanraya tinggi dan kawasan kiri dan kanan rumah rendah.

“Apabila berlakunya banjir limpahan air itu akan memasuki ke kawasan perumahan yang rendah,” ujarnya.