IPOH: Kerajaan negeri mohon Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) mempertimbangkan kedudukan kampung masyarakat India yang ketika ini tidak dikategorikan di dalam mana-mana Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dibawah kementerian tersebut.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, ini kerana Perak setakat ini mempunyai tujuh kampung masyarakat India yang agak besar.

“Kita di Perak mempunyai empat jenis JKKK, iaitu kampung Melayu, Orang Asli, Cina dan India dalam usahakan kita memperkukuhkan lagi institusi berkenaan.

“Kita mohon pertimbangan khas daripada KKLW agar sekiranya dapat memberi perhatian kepada kedudukan yang telah kita wujudkan ini kerana mereka (kampung masyarakat India) tidak terletak di dalam kategori kampung baharu atau mana-mana kampung” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan penutupan program sijil tadbir urus desa zon utara fasa 2 anjuran Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) di sini pada Khamis.

Turut hadir Menteri KKLW Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan dan barisan exco kerajaan negeri.

Kata Dr Zambry lagi, permohonan itu penting bagi membantu kampung-kampung tersebut memandangkan Perak mempunyai jumlah masyrakat India yang tinggi iaitu 11 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk.

Tujuh kampung terlibat ialah Kampung Hendra, Kampung Soon Le, Kampung Tun Sambanthan, Kampung Kamatchi, Kampung Sungai Sumun, Kmapung Kina Valley dan Kampung Pundut.