PANGKOR: Kerajaan negeri Perak memohon peruntukan sebanyak RM300 juta untuk menaik taraf jeti di Pulau Pangkor bagi menampung peningkatan pelancong ke pulau bebas cukai itu.

Cadangan itu melibatkan projek menaik taraf jeti penumpang, jeti kargo dan zon penumpang.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, berkata, cadangan itu dikemukakan dalam mesyuarat Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) ke-23 (PB23) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhiyiddin Yassin pada Selasa.

“Sekarang ini kita dapati banyak masalah dikalangan penduduk tempatan untuk keluar masuk daripada Pulau Pangkor.

“Maka kita telah mengesyorkan juga agar kerajaan persekutuan dapat menimbangkan membuka lebih banyak zon pendaratan, terutama bagi kargo, bagi para pekerja yang keluar masuk dan pedagang yang membawa masuk barangan dan sebagainya.

“Perlu ada tempat-tempat yang lebih bersesuaian, tidak perlu bersesak dengan para pelancong juga,” katanya.

Beliau ditemui selepas mesyuarat Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) ke-23 (PB23) di Pulau Pangkor yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Mesyuarat turut dihadiri Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man; Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.

Hadir sama Pengerusi Bersama (Industri) Kumpulan Industri Malaysia-Kerajaan untuk Teknologi Tinggi (MIGHT), Tan Sri Dr. Ir. Ahmad Tajuddin Ali; dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS, Tengku Muhammad Taufik Tengku Kamadjaja Aziz.

Ahmad Faizal berkata, Perdana Menteri sedar mengenai keperluan itu selepas dibawa meninjau keadaan sekitar Terminal Jeti Penumpang Pulau Pangkor sebelum mesyuarat bermula.

Pulau Pangkor telah diisytiharkan sebagai Pulau Bebas Cukai mulai 1 Januari 2020 yang lalu.

Sementara itu, kerajaan negeri Perak juga memohon agar Kementerian Kewangan menimbangkan permohonan untuk mengurangkan tempoh kelayakan pembelian bebas cukai Pulau Pangkor daripada 48 jam kepada 24 jam.

Ahmad Faizal berkata, permohonan itu telah dikemukakan sebelum ini dan masih menunggu kelulusan Kementerian Kewangan.

“Pulau Pangkor adalah sebuah pulau yang bukannya besar sangat, kita tidak mempunyai bilik yang banyak buat masa sekarang ni dan saya kira aktiviti yang ada di sekitar pulau pangkor ini memadai bagi para pelancong untuk tinggal satu malam.

“Jika kita meletakkan kelayakan kepada dua malam ataupun 48 jam, kemasukan itu tidak begitu tinggi dan kita yakin apabila kerajaan persekutuan boleh nembenarkan kepada hanya 24 jam, akan menarik lebih ramai lagi pelancong untuk datang dan bermalam di Pulau Pangkor ini,” ujarnya.