KUALA KANGSAR, 11 JAN – Perak akan membangunkan semula stesen bas daerah di seluruh negeri dalam usaha untuk menaik taraf pengangkutan awam di negeri itu.

Terbaharu, stesen bas Kuala Kangsar akan dibangunkan dengan kerjasama antara syarikat swasta dan Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK).

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, pembangunan semula itu akan melibatkan pembinaan terminal yang lebih moden dengan pelbagai kemudahan, termasuk untuk orang kurang upaya (OKU).

“Untuk membina semula terminal yang moden yang baharu akan bermula di daerah Kuala Kangsar dan akan diikuti dengan daerah-daerah yang lain, termasuk di daerah Sungai Siput.

“Berdasarkan kepada perancangan dan bersetujuan antara pihak swasta dan MPKK, pembinaan mungkin akan bermula pada tahun ini,” katanya.

Beliau ditemui selepas mengadakan lawatan ke stesen bas Kuala Kangsar pada Isnin.

Turut hadir, Pegawai Daerah Kuala Kangsar, Ahmad Munir Ishak dan Yang Dipertua MPKK, Zulqarnain Mohamad.

Menurut Zolkafly, selain daripada kemudahan untuk OKU, terminal bas baharu itu akan menyediakan lebih banyak ruang niaga untuk penduduk setempat.