Oleh:Nazialita Geynna Maharan

IPOH: Perak mengorak langkah menjadi negeri pertama menggunakan sistem elektronik bagi tujuan menguruskan dan memantau sumber mineral secara sistematik melalui kaedah e-Doket.

8c1cd912-310f-4fd6-857d-c5652102e504Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar (MB Inc), Datuk Aminuddin Hashim berkata sistem tersebut merupakan kaedah efisien bukan sahaja dari segi penguatkuasaan undang-undang sumber negeri malah untuk meningkatkan hasil negeri.

Kata beliau, sebanyak 30 daripada 74 kuari berdaftar seluruh negeri akan menggunapakai sistem tersebut bermula 17 Julai ini bagi merintis perlaksanaannya.

“30 kuari ini akan menjadi platform permulaan bagi sistem e-Doket, dan dari situ kita akan melihat tahap keberkesanannya dari segi pemantauan cara kerja di setiap kuari dan mengenalpasti sebarang kelemahan yang boleh ditambahbaik.

“Setelah kesemua elemen diperhalusi barulah kita akan melaksanakannya kepada kuari selebihnya, secara berperingkat dan sistem ini akan berkuatkuasa secara penuh selewat-lewatnya pada 1 Januari 2018,” katanya.

c5162cea-e957-46ea-8179-3d66176c15fd

Beliau berkata demikian dalam sidang media sebelum menghadiri Sesi Penerangan e-Doket bersama Pengusaha Kuari-kuari Negeri Perak anjuran Pejabat Tanah dan Galian Negeri Perak dan Perbadanan Menteri Besar ( MB Inc) di Casuarina@Meru, di sini hari ini.

Katanya, buat masa ini tiada sebarang caj pembayaran dikenakan terhadap pengusaha kuari serta agensi terlibat untuk menggunapakai sistem tersebut.

Aminuddin berkata, e-Docket adalah sebuah kaedah untuk menyokong Sistem Pengurusan Sumber Mineral (SPSM) yang dirangka hasil kejayaan pengurusan tanah efisien di negeri Perak sebelum ini.

Sementara itu, Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Negeri, Rumaizi Baharin berkata Perak wajar menjadi contoh sejak kejayaan hasil pendapatan mineral negeri yang mencapai 100 juta sejak tahun 2016.

Beliau yakin, sistem tersebut bakal meningkatkan hasil negeri dan menjadi pelengkap kepada pelaksanaan undang-undang PTG dan memudahkan gerak kerja pegawai serta pentadbir tanah khususnya dari segi kutipan hasil.

“Kelebihan sistem ini adalah kita hanya perlu menggunakan telefon pintar untuk memantau samada kesemua pengusaha ini mematuhi undang-undang, membawa muatan dalam kuantiti yang betul dan sebagainya,” katanya lagi.

Jelas Rumaizi, melalui sistem e-Docket pengguna akan dapat mengesan kadar muatan yang dibawa oleh lori melalui imbasan QR Code yang tertera di pelekat kenderaan bagi memastikan segalanya berjalan dengan telus sebaik tiba di destinasi baru.