IPOH: Kedudukan negeri Perak di tempat ke-5 pada Sukan Malaysia (SUKMA) kali ini adalah perkembangan baik, berbanding tempat ke-12 pada SUKMA 2016 di Sarawak.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan negeri, Howard Lee berkata, Perak turut tersenarai sebagai penyumbang kepada rekod baru SUKMA dalam acara angkat berat dan menembak.

“Temasya kali ini boleh dibanggakan jika dilihat dari segi prestasi atlet yang cukup baik dengan mencipta enam rekod kebangsaan dan 59 rekod SUKMA berjaya diperbaharui.

“Pecahannya angkat berat 27 rekod SUKMA dan 5 rekod kebangsaan, menembak 10 rekod SUKMA, renang pula 6 rekod SUKMA dan 1 rekod kebangsaan,memanah 9 rekod SUKMA serta olahraga 7 rekod SUKMA.

“Perak juga berjaya menyumbang satu rekod SUKMA bagi angkat berat dan satu untuk menembak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media khas di pusat media Kompleks Sukan di sini pada Sabtu.

Turut hadir Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

Dalam pada itu, Howard turut mengucapkan tahniah kepada kontinjen negeri Terengganu yang muncul juara keseluruhan edisi SUKMA ke-19 dengan meraih 56 pingat emas, 51 perak dan 53 gangsa dengan jumlah keseluruhan 160 pingat.

“Pencapaian cemerlang pada SUKMA ke-19 ini menjadi medan terbaik untuk MSN mempersiapkan kontinjen terbaik negara bagi menghadapi kejohanan sukan pada masa akan datang,” katanya.

Bagi SUKMA kali ini, Wilayah Persekutuan di tempat kedua dengan 52 emas, 38 perak dan 50 gangsa manakala Selangor berada di tangga ketiga dengan 47 emas, 68 perak dan 67 gangsa.

Selepas ini negeri Johor akan menjadi tuan rumah bagi temasya SUKMA pada tahun 2020.