IPOH: Perak memperkenalkan tujuh pakej pelancongan sempena Sukan Malaysia (SUKMA) 2018 yang akan berlangsung pada 12 – 22 September depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri, YB Tan Kar Hing berkata, pakej itu melibatkan 66 buah hotel di seluruh negeri yang menyediakan kira-kira 6,350 bilik sepanjang kejohanan itu.

Menurut beliau, pakej pelancongan itu yang dinamakan sempena maskot SUKMA 2018 iaitu Chor, diusahakan oleh Tourism Perak dengan kerjasama Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Bahagian Perak dan Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA).

Katanya, setiap pakej dari Chor 01 hingga Chor 07 itu terkandung di dalam pamplet yang disediakan di semua hotel yang mengambil bahagian, yang turut mengandungi maklumat mengenai gelanggang dan acara yang dipertandingkan.

“Ini penting kerana mereka boleh mendapat informasi yang lengkap seperti lokasi dan acara yang bakal berlangsung di setiap daerah sepanjang kejohanan SUKMA 2018,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Pakej Pelancongan SUKMA 2018 di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Perak, Zuraida Md Taib, Presiden Persatuan Pelancongan Perak, Datuk Odzman Abdul Kadir dan Pengerusi MAH Perak, Maggie Ong.

YB Tan berkata, semua pakej pelancongan yang disediakan itu meliputi penginapan, pengangkutan dan lawatan ke tempat-tempat menarik di seluruh negeri.

Antara tempat menarik yang terkandung di dalam pakej pelancongan itu ialah MAPS, Gua Tempurung, Pulau Pangkor, Lost World of Tambun, TT5, Zoo Taiping dan Night Safari, Muzium Telegraph Taiping dan Hutan Royal Belum.