KAMPUNG GAJAH: Kerajaan negeri Perak memperkenalkan Bantuan Peralatan Peniaga Kecil Wanita (BizNita) dengan peruntukan lebih RM700,000 tahun ini.

Pengerusi Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin berkata, melalui program itu, peserta diberi bantuan peralatan yang bernilai tidak melebihi RM5,000 untuk meningkatkan ekonomi keluarga.

Menurutnya, bantuan itu menyasarkan peniaga kecil wanita termasuk mereka yang menjalankan perusahaan di rumah dengan turut mendapat kerjasama Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Mengikut perancangan awsl awal, BizNita akan diberikan sekali setahun, namun susulan pandemik COVID-19 bantuan diberikan dua kali dengan fasa pertama pada Julai lalu membabitkan 100 penerima dengan peruntukan RM350,000.

“Fasa kedua hari ini membabitkan 25 penerima manakala 75 penerima lain akan menerima bantuan dalam masa terdekat,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan bantuan itu kepada penerima di Dewan Millenium Pejabat Tanah dan Daerah Kampung Gajah, di sini, hari ini.

Penerima terdiri daripada 25 peniaga kecil wanita dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Kampung Gajah dan Sungai Manik yang terbabit dalam pelbagai jenis perniagaan seperti jahitan, pembuatan kek dan pastri selain pembuatan rebana serta asam keping.

Dr Wan Norashikin berkata, bantuan itu adalah inisiatif kerajaan negeri bagi mengalakkan usaha dan menghargai peniaga kecil wanita yang sebahagian mereka membantu menjana pendapatan keluarga.

“Kita juga ada perancangan untuk menambah bajet kerana dalam situasi ketika ini ramai yang memohon bantuan peralatan untuk perniagaan kerana mereka kehilangan kerja.

“Selain itu, bantuan sama juga boleh diperluaskan kepada peniaga kecil lelaki,” ujarnya.