BATU GAJAH: Perak memperkenalkan baucer pelancongan sebagai salah satu langkah untuk merancakkan kembali sektor pelancongan domestik di negeri itu.

Baucer bernilai RM50 dan RM30 itu memberi diskaun di hotel-hotel dan produk-produk pelancongan terpilih di seluruh negeri.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, sebagai permulaan sebanyak 1,500 baucer diberikan kepada pelancong dalam negara yang sah digunakan bermula 1 Julai hingg 30 November ini.

“Walaupun kita masih belum melancarkan baucer #travelperaklah tetapi sejak daripada dibuka semula pelancongan domestik sehingga semalam, daripada 58 buah hotel yang telah kami hubungi, terkini bilik yang telah ditempah adalah sebanyak 2,695.

“Saya kira bilangan ini perlu dipertingkatkan lagi untuk menjamin pekerjaan dalam industri pelancongan ini.

“Ianya amat menggalakkan tetapi perlu dipertingkatkan dengan segera, jika tidak kita akan mempunyai masalah untuk para pengusaha hotel untuk mengekalkan pekerja mereka dan menjalankan operasi,” katanya.

Beliau ditemui selepas melancarkan baucer itu di Kellie’s Castle, di sini, hari ini.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi.

Ahmad Faizal berkata, sekiranya mendapat sambutan, kerajaan negeri bercadang untuk meneruskan program itu bagi tempoh yang lebih panjang.

Beliau berharap, orang ramai dapat mengambil peluang itu untuk melancong ke Perak, sekaligus membantu menghidupkan kembali sektor pelancongan di negeri ini.